Larangan premis judi, selangkah pun tidak akan undur - MB Kedah

Muhammad Sanusi. Foto UPDA
Muhammad Sanusi. Foto UPDA
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengulangi ketegasan kerajaan negeri tersebut bahawa matlamat larangan premis judi adalah untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menurutnya, perkara tersebut adalah antara langkah yang diteliti sehalus-halusnya sebelum dilaksanakan dalam memastikan rakyat bebas daripada gejala-gejala negatif yang merosakkan pemikiran dan akal.

“Matlamat kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini, bukannya bertujuan untuk menyekat sesiapa.

“Tiada apa, perjuangan masih panjang, Insya-ALLAH tuan-tuan sekalian, perjuangan diteruskan selangkah pun tidak akan berundur,” katanya melalui satu video yang dimuatkan di platform media sosial rasminya pada Jumaat.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, Kerajaan Kedah telah mengambil langkah tidak lagi membenarkan premis judi diberikan lesen di negeri ini bermula 1 Januari 2023.

Menurutnya, larangan ini dikuatkuasakan di bawah undang-undang kecil kerajaan tempatan melibatkan 45 premis dan pemiliknya telah beri tempoh yang cukup lama lebih kurang setahun untuk mencari perniagaan lain yang lebih sesuai dengan tidak lagi bergantung kepada aktiviti perjudian.

“Tujuannya ialah supaya mereka ada masa yang cukup untuk memikirkan perniagaan lain, matlamat kita ialah membendung gejala sosial, banyak kerosakan masyarakat berpunca daripada judi seperti kehancuran rumah tangga, penderaan mental dan fizikal terhadapi isteri dan anak-anak, pengabaian, rasuah, mencuri, pecah amanah, ini semua yang merosakkan akal kita,” ujarnya.

Jelas MB Kedah itu, sampai bila hal-hal yang melibatkan dengan perjudian ini hendak dibiarkan di negeri ini malah larangan berjudi dalam agama Islam juga sangat jelas.

Artikel Berkaitan:

“Maka kita kuatkuasakan, kita buat satu dasar di peringkat negeri untuk dilaksanakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Alhamdulilah semua PBT telah melaksanakan dasar kerajaan negeri.

“Walaubagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 20 Jun lalu telah membuat keputusan memberikan kebenaran kepada enam syarikat judi untuk menyemak semula keputusan yang telah dibuat iaitu larangan premis judi di Kedah,” katanya lagi.

Tambah Muhammad Sanusi, situasi yang berlaku disifatkan sebagai menyedihkan namun kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah berikutnya dalam kerangka undang-undang dan perlembagaan negara untuk memastikan dasar yang diputuskan di peringkat negeri ini terus dihormati dan dapat dikuatkuasakan.

Pada 10 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan Kerajaan Kedah akan menggunakan saluran perundangan dalam mempertahankan keputusan menutup premis judi di negeri ini.

Setakat ini notis rayuan telah difailkan ke Mahkamah Rayuan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 24 Jun lalu dan notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi juga telah difailkan pada 4 Julai sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!