X

Kindly register in order to view this article
!

Penagih bongkar dalang edar dadah

Abd Jalil bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas susulan penahanan empat suspek.
A
A

KUANTAN - Polis Pahang menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di negeri ini dengan salah satu sindiket berjaya dikesan hasil maklumat daripada penagih dadah yang mendedahkan mendapat bekalan daripada pengedar dari Dungun, Terengganu ketika ditahan dalam Ops Tapis di sekitar Kuantan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan maklumat terbabit, operasi khas digerakkan dan pihaknya berjaya menahan empat individu berusia 24 hingga 28 tahun di sekitar Kuantan dan Terengganu kelmarin.

Menurutnya, penahanan terbabit turut melibatkan rampasan dadah jenis syabu dan pil yaba dianggarkan seberat 7.3 kilogram dengan nilai mencecah RM400,000 selain tiga kenderaan dan sejumlah wang dalam dua akaun bank turut disita dengan nilai sitaan berjumlah RM152,645.

“Hasil siasatan mendapati, dua kumpulan ini aktif mengedar dadah jenis syabu dan pil yaba sekitar Kuantan sejak tujuh bulan lalu.

“Berdasarkan jumlah dadah yang dirampas, kita percaya bekalan itu mampu dibekalkan kepada lebih 30,240 penagih,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, bertindak atas maklumat, polis berjaya mengenal pasti rangkaian kegiatan itu sebelum menggerakkan Operasi Khas disertai sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan berjaya menahan dua lelaki berusia 27 dan 28 tahun di tepi jalan Felda Kerteh 4, Dungun, kira-kira jam 2 petang, 29 Julai lalu.

Abd Jalil menunjukkan pil yaba yang dirampas daripada empat suspek.
Abd Jalil menunjukkan pil yaba yang dirampas daripada empat suspek.

Dalam operasi itu katanya, polis merampas dadah syabu dianggarkan seberat 1,016.60 gram dan 8,000 biji pil yaba yang dianggarkan seberat 889.90 gram.

Abd Jalil berkata, berikutan penahanan dua suspek itu, pihaknya turut menahan seorang lagi suspek berusia 24 tahun di perhentian bas bandar Jerteh, Terengganu dan merampas dadah syabu seberat lebih 1,006.63 gram.

Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan, seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu dianggarkan seberat 3,097.30 gram dan 12,000 pil yaba (1333.60 gram) di tepi sebuah rumah di Batu 10, Jalan Gambang di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 28 Julai lalu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada dua kes berkenaan mempunyai kaitan berdasarkan kepada jenis dadah yang diedarkan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah dan salah seorang didapati memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!