3,000 penduduk Pekan Napoh akan jalani saringan Covid-19

Seorang petugas kesihatan hari ini memakaikan gelang merah jambu kepada salah seorang pesakit yang diwajibkan kuarantin selama 14 hari.
Seorang petugas kesihatan hari ini memakaikan gelang merah jambu kepada salah seorang pesakit yang diwajibkan kuarantin selama 14 hari.
A
A
A

JITRA - Seramai 3,000 penduduk di Pekan Napoh dalam radius 1km dijangka akan menjalani saringan Covid-19 dalam tempoh seminggu ini.

Exco Kesihatan negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat ini lebih 700 individu hadir membuat saringan terdiri daripada kontak rapat dan mempunyai kaitan dengan Kluster Sivagangga yang mula dikesan sejak 28 Julai lalu.

Beliau berkata, petugas Jabatan Kesihatan Kedah hari ini menjalankan saringan kepada 300 individu di Klinik Kesihatan (KK) Napoh di sini.

"KK Napoh mampu membuat saringan antara 300 hingga 500 orang dalam masa sehari," katanya selepas meninjau proses saringan di klinik tersebut bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur di sini hari ini.

Dr Mohd Hayati mendengar penerangan daripada petugas kesihatan yang menjalankan saringan di klinik Kesihatan Napoh, Jitra hari ini.
Dr Mohd Hayati mendengar penerangan daripada petugas kesihatan yang menjalankan saringan di klinik Kesihatan Napoh, Jitra hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, penduduk yang dipakaikan gelang merah jambu diwajibkan kuarantin selama 14 hari sebelum menjalani saringan kali kedua pada hari ke-13.

"Sekiranya negatif, maknanya mereka sudah bebas Covid-19. Jika positif mereka akan dimasukkan ke dalam bilangan kes kluster berkenaan.

"Saya juga berharap mereka yang dipakaikan gelang tu mematuhi arahan kuarantin supaya wabak ini tidak menjangkiti orang lain,"katanya

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, saringan Covid-19 juga akan dilaksanakan di KK Kodiang di sini, esok.

"Jangkaan awal kita ialah seramai 245 orang penduduk di kawasan Megat Dewa akan menjalani saringan terbabit esok," katanya.

Chunng Tsaur (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di Pekan Napoh hari ini.
Chunng Tsaur (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di Pekan Napoh hari ini.

Sementara itu, Chunng Tsaur berkata, polis sudah mula melakukan enam sekatan jalan raya di daerah ini bermula hari ini.

Beliau berkata, enam sekatan itu diadakan di Kilometer 16 Lebuhraya Utara - Selatan arah utara, Kilometer 18.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, hadapan Masjid Cerok Mokkan, Pida 1, Jalan Kampung Tebing dan Jalan Kampung Wang Perah.

"Sekatan itu diadakan bagi memastikan tiada kemasukan orang luar ke dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Pengurusan tanpa urusan penting," katanya.