X

Kindly register in order to view this article
!

UDA peruntuk RM10 juta insentif kepada 1,500 penyewa premis

Jalaluddin (tiga dari kanan) mengagihkan daging korban kepada asnaf dan komuniti setempat.
A
A

SEREMBAN - UDA Holdings Berhad (UDA) memberikan insentif melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada 1,500 penyewa di premis agensi tersebut yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya, Datuk Jalaluddin Alias berkata, UDA sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berperanan membantu usahawan bumiputera

Beliau berkata, insentif berkenaan ialah pengecualian satu bulan sewa kepada penyewa yang menjual bukan barangan 'essential' dan 50 peratus diskaun kepada penyewa barangan 'essential' dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Selain itu, UDA turut memberi pengurangan sewa 20 peratus kepada penyewa setelah tamat tempoh PKP sehingga September 2020," katanya kepada pemberita selepas Program Qurban Perdana UDA 2020 di Angsana di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, penyewa tetap dibenarkan mempunyai sewa tertunggak sehingga tiga bulan berkuat kuasa sehingga 30 September ini.

"Kita berharap insentif ini dapat merangsangkan lagi perniagaan usahawan dan ekonomi mereka," katanya.

Terdahulu, Jalaluddin berkata, menerusi program berkenaan UDA mengagihkan haiwan korban tersebut ke surau dan masjid terpilih di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak untuk disalurkan kepada asnaf dan ahli komuniti di sekitar kawasan terlibat.

"Program ini dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula 31 Julai hingga hari ini dengan kemuncaknya dijalankan di sini," katanya.

Dalam masa sama, Jalaluddin bersyukur kerana setelah mengharungi pelbagai transformasi dan liku perjalanan sebagai sebuah organisasi yang mencorakkan pembangunan di Malaysia, kini UDA menuju usia 50 tahun.

"Ditubuhkan pada 12 November 1971, perjalanan menuju separuh abad ini juga telah meletakkan UDA sebagai pemaju hartanah yang dinamik dari dahulu sehingga kini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!