Pelan induk lima tahun untuk transformasi Kuching

Abang Johari (tiga dari kiri) menghadiri Sambutan Peringatan Ulang Tahun ke-32 Bandaraya Kuching di pekarangan Bangunan MBKS, Kuching hari ini.
Abang Johari (tiga dari kiri) menghadiri Sambutan Peringatan Ulang Tahun ke-32 Bandaraya Kuching di pekarangan Bangunan MBKS, Kuching hari ini.
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak mempunyai pelan induk pembangunan lima tahun bagi mentransformasi kawasan bandar raya itu yang sudah usang.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelan itu sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Kuching sebagai bandar raya metropolis dan pintar dengan mengenal pasti kawasan komersial yang perlu dibangunkan semula di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Pembangunan semula ini akan dilaksanakan oleh majlis berkuasa tempatan (MBKS dan DBKU) dan swasta dengan mengambil kira kriteria-kriteria kemudahan lebih moden serta sesuai untuk bandar raya pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-32 Bandaraya Kuching dan perasmian New Norms Park di pekarangan Bangunan MBKS di sini hari ini.

Menurutnya, antara kawasan terlibat ialah Padungan dalam kawasan MBKS, sebahagian kawasan Jalan Haji Taha dan Jalan P Ramlee dalam kawasan DBKU.

"Antara kemudahan yang akan dibangunkan termasuk pusat komersial dan kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Autonomi (ART).

“Pembangunan semula ini tidak akan menjejaskan bangunan-bangunan bersejarah yang sedia ada, sebaliknya kesan sejarah dan unsur budaya masyarakat pelbagai kaum di Bandaraya Kuching dan negeri ini akan terus dipelihara,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: