Lima tahun sambut raya tanpa pakaian baharu

Mohamad Shauti dan keluarga teruja kali pertama menjejak kaki ke pasar raya dan memilih sendiri pakaian baharu untuk Aidilfitri sambil dibantu oleh Murtadhatumizi (kiri).
Mohamad Shauti dan keluarga teruja kali pertama menjejak kaki ke pasar raya dan memilih sendiri pakaian baharu untuk Aidilfitri sambil dibantu oleh Murtadhatumizi (kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Pasangan suami isteri dari Kampung Serongga, Pasir Mas mendedahkan sudah lima tahun mereka tidak mengenakan pakaian baharu setiap kali menyambut Aidilfitri.

Mohamad Shauti Zakaria, 42, dan isterinya, Kalmilah Che Hussin, 38, memilih untuk lebih mengutamakan keperluan empat anak yang berusia setahun hingga 12 tahun.

Ujarnya, bekerja sebagai penoreh getah, pendapatan yang diperoleh hanya cukup untuk membeli barangan keperluan dapur.

"Kami tidak kisah memakai pakaian lama pada 1 Syawal. Asalkan anak-anak bergembira dengan pakaian baharu dan saya hanya mampu menyediakan sepasang seorang," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Sebelum itu keluarga Mohamad Shauti telah dibawa oleh Pengarah Urusan Mz Gold Sdn Bhd, Murtadhatumizi Mustapha membeli-belah kelengkapan hari raya di sebuah pasar raya di sini.

Menurut dia, mereka sekeluarga sangat teruja dibawa menaiki kereta mewah dari Pasir Mas ke Kota Bharu.

Ujarnya, ia merupakan pengalaman pertama mereka menjejak kaki ke sebuah pasar raya besar dan berpeluang memilih sendiri pakaian baharu untuk hari raya.

Mohamad Shauti memberitahu, isteri dan anak-anaknya antara yang paling gembira melalui detik-detik indah itu.

"Seronok tengok mereka pilih sendiri baju Melayu, samping, baju kurung, tudung.

"Tahun ini kami memilih tema warna merah manggis dan ini merupakan kali pertama sedondong di Aidilfitri," katanya sambil menahan sebak.

Tambah dia, jika tidak kerana Mz Gold, mereka menaruh harapan menunggu wang bantuan banjir untuk membeli kelengkapan hari raya tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan, dua beradik dari Kampung Serongga terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah disebabkan kekurangan belanja.

Nurul Syazwani Mohamad Shauti, 12, dan adiknya, Nurul Hasanah, 10, berbuat demikian selepas bapa, Mohamad Shauti hilang upaya untuk keluar bekerja akibat kencing manis kronik tahap empat.

Ibu, Kalmilah pula patah kaki kanan selepas terjatuh semasa rumah ditenggelami banjir, Disember lalu.

Mereka yang ingin menyumbang boleh salurkan kepada nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Kalmilah Che Hussin di nombor 03027020932184.