X

Kindly register in order to view this article
!

Pengetahuan perbankan beri kelebihan rangka dasar manfaatkan rakyat

Tengku Zafrul
A
A

KUALA LUMPUR - Keupayaan memahami dengan mendalam sektor perbankan dan kewangan telah memberikan rangsangan kepada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk moratorium enam bulan bagi manfaat rakyat, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menteri Kewangan itu berkata, meskipun ada cakap-cakap belakang semasa hari-hari awal pelantikan beliau apabila orang mengatakan beliau akan hanya lebih menumpukan kepada sektor kewangan berikutan kedudukannya sebagai bekas jurubank, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Sebahagian besar kerjaya saya adalah sebagai jurubank tetapi apa yang penting sekarang adalah bagaimana untuk membantu rakyat Malaysia. Pemahaman saya tentang bank, keupayaan mereka dan inisiatif yang mereka boleh ambil nampaknya menjadi satu kelebihan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pengalaman beliau telah membolehkannya dapat berkomunikasi dengan lebih baik bersama rakan-rakan jurubanknya bagi memastikan inisiatif terbaik diberikan semasa tempoh sukar yang dihadapi rakyat Malaysia.

Semasa ditanya mengenai moratorium pendekatan bersasar, beliau berkata apabila inisiatif itu diumumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin (PRIHATIN), kira-kira 7.7 juta orang termasuk mereka yang tidak terkesan dari segi kewangan disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19) telah mengambilnya.

“Bagi pendekatan bersasar, kami menganggarkan kira-kira tiga juga rakyat Malaysia bakal mendapat manfaat daripadanya termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan serta gaji dipotong,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan, lebih 83.5 peratus atau 12.7 juta pekerja telah kembali bekerja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun ekonomi sedang berada di landasan pemulihan dan sebahagian besar rakyat Malaysia telah kembali bekerja, senario positif ini tidak merangkumi semua sektor.

“Saya faham ada perniagaan yang masih belum dapat beroperasi sepenuhnya dan ada mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Justeru, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan moratorium bagi mereka yang paling patut menerimanya selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia,” kata Muhyiddin semalam semasa mengumumkan lanjutan moratorium dan pendekatan bersasar.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa jika moratorium secara menyeluruh diberikan; sektor perbankan akan menghadapi impak yang buruk dengan sebahagian bank mula berdepan dengan situasi yang tidak selesa.

“Apa yang penting ialah bank perlu memberi pinjaman untuk memacu ekonomi. Dalam tempoh enam bulan lepas, peluang bank untuk memberi pinjaman telah berkurangan sebanyak RM79 bilion. Oleh itu, pendekatan bersasar diambil untuk mengimbangi keperluan untuk menyokong rakyat dan juga perniagaan,” katanya.

Antara lain, Affin Bank telah menyatakan bahawa di bawah moratorium secara menyeluruh selama enam bulan, institusi kewangan itu mengalami kerugian sebanyak RM80 juta berikutan pelaksanaan moratorium kepada pelanggannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata 63 peratus daripada jumlah pinjamannya sebanyak RM45 bilion kini tidak aktif di bawah moratorium.

Menurut data Bloomberg, Affin, yang pemegang saham majoritinya ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), mempunyai permodalan pasaran terkecil sebanyak RM3.23 bilion dalam kalangan sembilan bank di negara ini.

Ini diikuti oleh Alliance Bank sebanyak RM3.31 bilion, Bank Islam (RM6.29 bilion) dan AmBank (RM8.89 bilion).

Penganalisis hari ini mengekalkan unjuran untuk sektor perbankan berikutan pengumuman semalam.

Kenanga Research dalam notanya hari ini berkata ia tidak menjangka langkah-langkah itu akan menjadi punitif kepada bank berikutan aturan semasa dan pendekatan bersasar yang selaras dengan isyarat Bank Negara Malaysia baru-baru ini.

“Walaupun kami yakin langkah-langkah ini akan mengekalkan kualiti aset dalam masa terdekat, keadaannya masih kabur, justeru itu, sukar untuk mengukur kecukupan peruntukan pinjaman pada masa ini,” katanya.

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, ia tidak menolak kemungkinan bahawa pinjaman ini mungkin memerlukan rizab kerugian kredit yang dijangka lebih tinggi, membawa kepada peningkatan risiko unjuran panduan kos kredit pada 2020, yang akan mendorong bank-bank membuat permulaan baharu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!