Maahad tahfiz terbakar, 115 pelajar sempat selamatkan diri

Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar, terbakar lewat malam tadi. Foto: Ihsan pembaca.
Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar, terbakar lewat malam tadi. Foto: Ihsan pembaca.
A
A
A

PARIT - Tindakan pantas seorang pelajar mengarahkan rakan lain melarikan diri berjaya menyelamatkan 115 penghuni Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar di sini dalam kebakaran, lewat malam tadi.

Kejadian sekitar jam 12.50 malam itu disedari selepas pelajar terbabit terlihat api marak dari bahagian bawah bangunan stor yang terletak kira-kira enam meter dari bangunan tidur mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Penolong Penguasa Bomba Zaiful Efandi Ahmad berkata, sebaik tiba di lokasi didapati, semua penghuni maahad berkenaan telah berada di tempat zon berkumpul dengan selamat.

"Kebetulan ketika kejadian, masih ramai penghuni yang belum tidur jadi mereka dapat bertindak pantas menyelamatkan diri dan segera menghubungi bomba untuk bantuan."

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, kebakaran hanya melibatkan kemusnahan struktur bangunan dan harta benda," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, maahad berkenaan antara yang terpilih bagi penubuhan skuad bomba tahfiz sejak 2017 lalu.

"Sepanjang tempoh itu, selain pemantauan bomba, mereka turut diberikan bimbingan berkaitan langkah keselamatan yang perlu dilakukan sekiranya kebakaran terjadi.

"Alhamdulillah, latihan-latihan diberikan itu banyak membantu mereka bertindak dengan betul ketika berhadapan situasi sebenar seperti ini," katanya.

Beliau berkata, kebakaran telah memusnahkan bahagian stor simpanan yang memuatkan barangan makanan kering dan peralatan pelajar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, api marak dengan cepat disebabkan binaan kayu menyebabkan dua lagi blok berhampiran iaitu dewan dan bilik kuliah turut terjejas.

"Dua bangunan itu bagaimanapun hanya mengalami kerosakan kecil sekitar 5 ke 10 peratus.

"Api dapat dikawal pada jam 1.41 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya tidak lama kemudian. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.25 pagi," katanya.

Operasi pemadaman melibatkan 28 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dengan bantuan balai Parit dan Teluk Intan serta Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan dan Ayer Tawar.