SUV terjunam ke laut: Siasatan kemalangan belum lengkap

Pasukan penyelamat berjaya mengangkat kereta SUV jenis Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lagi kenderaan di KM 4 Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas. - Foto Bernama
Pasukan penyelamat berjaya mengangkat kereta SUV jenis Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lagi kenderaan di KM 4 Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi Ahad lalu, sehingga menyebabkan pemandunya maut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, pihaknya sedang mengumpul beberapa lagi maklumat dan data bagi melengkapkan kertas siasatan yang dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.

“Selain itu, polis juga masih lagi menunggu keputusan ujian darah dan alkohol pemandu Toyota Vios yang turut terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Selepas semuanya lengkap kami akan serahkan kertas siasatan itu ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga hari ini polis merekodkan keterangan daripada 16 orang individu termasuk pemandu kereta Toyota Vios berusia 21 tahun itu, selain saksi awam, anggota keluarga dan rakan-rakan mangsa.

Kereta Toyota Vios itu dikatakan berlanggar dengan SUV jenis Mazda CX-5 itu sebelum SUV berkenaan hilang kawalan dan terhumban ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang kira-kira jam 2.54 pagi Ahad lalu.

SUV berkenaan hanya berjaya diangkat keluar dari laut pada Selasa lepas dan mayat pemandunya yang dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, seorang pelajar kolej swasta di Georgetown ditemui tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan itu.

Nik Ros Azhan berkata, polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula pemandu kereta Toyota Vios itu jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

“Pemandu kereta itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 6.45 petang semalam selepas keterangannya berhubung kemalangan itu diambil.

“Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros)) turut terlibat untuk mengumpul data-data berkaitan dengan kemalangan tersebut di lokasi kejadian itu pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, abu mayat Yun Peng selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Berapit, Bukit Mertajam selepas tiba di tanah perkuburan itu kira-kira jam 11.30 pagi dan disusuli upacara keagamaan sebelum mayat dimasukkan ke dalam tempat pembakaran kira-kira 15 minit kemudian.

Suasana pilu menyelubungi krematorium itu sebaik sahaja jasad mendiang ditolak masuk ke dalam tempat pembakaran dan ahli keluarga serta rakan mendiang dilihat menangis serta memanggil-manggil nama si mati.

Proses pembakaran itu mengambil masa kira-kira dua jam sebelum abunya disemadikan di tanah perkuburan berkenaan.

Terdahulu, kira-kira 200 orang anggota keluarga dan rakan mendiang Yun Peng melakukan upacara keagamaan dan penghormatan terakhir di rumah mendiang di Taman Kempas, Butterworth. - Bernama