Bantu rakyat miliki rumah sendiri

Azmi menunjukkan projek RSKU Seri Seraya dan Seri Musytari yang mendapat permintaan tinggi. - FOTO ROSLI TALIB
Azmi menunjukkan projek RSKU Seri Seraya dan Seri Musytari yang mendapat permintaan tinggi. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PENERAJU hartanah terkemuka, Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) mengambil langkah proaktif ke arah masa depan pembangunan hartanahnya bagi menyokong aspirasi kerajaan Selangor dengan membangunkan beberapa lokasi Pembangunan Projek Rumah Selangorku (RSKU) Worldwide Holdings.

Projek RSKU itu telah dijenamakan semula sebagai Worldwide Idamanku.

Pemangku Pengurus Besar Bahagian Hartanah, Azmi Ali berkata, Worldwide Holdings membangunkan tiga projek RSKU dengan nilai pembangunan kasar RM101.41 juta yang berkeluasan 2.8 hektar terletak di Subang Bestari dan Puncak Alam, Selangor.

Menurutnya, Worldwide Idamanku adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bagi menyediakan kemudahan dan keperluan asas disalurkan kepada golongan sasar dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Dalam pelan induk projek perumahan, kami turut memperuntukkan untuk pembinaan RSKU. Buat masa ini, terdapat tiga projek hartanah di bawah RSKU yang dikenali Seri Seraya, Seri Musytari dan Seri Aduria.

“Ketiga-tiga projek ini mendapat permintaan yang tinggi sekaligus membuktikan keperluan pasaran bagi produk berkualiti di lokasi yang strategik dan menarik dengan harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga projek berkenaan adalah seiring dengan Dasar Perumahan Negeri Selangor yang utama iaitu merealisasikan matlamat ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’ bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami.

Rumah idaman

Artikel Berkaitan:

Azmi berkata, pelancaran kediaman Seri Seraya sejajar dengan kehendak rakyat Malaysia khususnya golongan B40 yang ingin memiliki rumah yang selesa dan mampu milik.

“Seri Seraya merupakan pangsapuri kediaman mampu milik di bawah RSKU jenis C dengan harga RM205,000 dan C (1) dengan harga RM208,500 yang terletak di Bandar Puncak Alam. Seri Seraya mempunyai 280 unit yang mana sebanyak 252 unit merupakan jenis C dan sebanyak 28 unit adalah C (1) yang berkeluasan 900 kaki persegi,” katanya.

Tambahnya, Seri Seraya yang terletak diperbandaran matang berhampiran sekolah, masjid, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, pasar raya, bank dan kedai serta sebagainya.

“Selain kedudukan yang strategik dan sesuai untuk didiami, ia turut memiliki kemudahan akses ke lebuh raya utama dan jalan utama seperti LATAR, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jalan Meru - Kuala Selangor dan Lebuh raya Damansara - Shah Alam Elevated Expressway (DASH) yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Azmi (kiri) melihat replika pembangunan projek RSKU.- FOTO ROSLI TALIB
Azmi (kiri) melihat replika pembangunan projek RSKU.- FOTO ROSLI TALIB

Beliau berkata, pembinaan projek Seri Seraya dengan nilai GDV berjumlah RM57.49 juta telah dimulakan pada awal Januari 2019 dan dijangka siap pada Jun 2021.

“Pembinaan Seri Seraya sudah mencapai 70 peratus dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila telah menerima tempahan sebanyak 50 peratus.

“Rumah yang ditawarkan di bawah skim RSKU ini juga berbeza berbanding projek lain kerana selain dilengkapi kemudahan asas kediaman, ia turut dilengkapi pendingin hawa, gril dan kabinet dapur yang diberikan kepada pemilik rumah,” katanya.

Tambahnya, Seri Seraya yang dibina menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) mempunyai 15 tingkat membawakan kediaman sebenar yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua tempat letak kereta.

Kediaman pilihan

Azmi berkata, pembangunan di Subang Bestari turut membangunkan dua projek RSKU iaitu Seri Musytari dan Seri Aduria. Seri Musytari yang merupakan pangsapuri 17 tingkat itu mempunyai 168 unit dan menawarkan jenis C dan jenis D.

“Seri Musytari jenis C dijual pada harga RM165,000 dan jenis D berharga RM220,000. Seri Musytari turut menawarkan 118 unit untuk jenis C yang berkeluasan 800 kaki persegi dan selebihnya ialah jenis D iaitu 50 unit yang berkeluasan 1,000 kaki persegi,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan projek Seri Musytari dengan nilai GDV berjumlah RM30.42 juta dijangka siap pada April 2021.

“Setakat ini, RSKU Seri Musytari yang mempunyai 17 tingkat itu telah siap 80 peratus pembinaannya dan 70 peratus daripada jumlah unit telah dijual,” katanya.

Dalam pada itu, Seri Aduria yang merupakan pangsapuri vila tiga tingkat turut dibina di Subang Bestari.

“Seri Aduria merupakan jenis D yang dijual pada harga RM250,000 bagi unit atas manakala RM260,000 bagi unit bawah. Seri Aduria menawarkan 54 unit berkeluasan 1,000 kaki persegi,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan projek Seri Aduria dengan nilai GDV berjumlah RM14.5 juta dijangka siap pada Disember 2021.

Katanya, Worldwide Holdings juga dalam perancangan untuk membina RSKU yang baharu di projek Daunan Worldwide di Alam Perdana.

“Ia akan mempunyai empat blok dan 676 unit yang dijangka akan dibina pada pertengahan tahun 2021,” katanya.

Azmi berkata, Worldwide Holdings mempelawa pembeli untuk memiliki rumah RSKU yang ditawarkan oleh syarikat itu yang berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah RM3,000 dan RM10,000.

“Pembeli perlu memilih lokasi dan kemudiannya nama pendaftar akan dihantar kepada pemaju untuk tindakan selanjutnya.

“Bakal pembeli yang berminat boleh mendaftar dan hendaklah melengkapkan pendaftaran melalui laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di ehartanah.lphs.gov.my atau kunjungi galeri jualan kami di Mercu Worldwide, Laman Seri Business Park, Seksyen 13, Shah Alam.

“Pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi harga rumah tidak melebihi RM300,000 akan dikecualikan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2020 dan pembeli akan mendapat penjimatan sebanyak RM2,000 hingga RM4,000.

“Sila hubungi pegawai jualan kami di talian 03-9212 0447 dan melayari laman web www.worldwideproperty.com.my, rebutlah peluang yang ditawarkan,” katanya.