PRK Slim: BN tak akan ambil mudah

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim biarpun Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil keputusan tidak meletakkan calon.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, persiapan jentera bagi menghadapi PRK itu masih diteruskan seperti biasa dengan andaian akan ada pertandingan.

Beliau berkata, jentera sudah diarahkan untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sehingga hari penamaan calon.

"BN tak ambil mudah, jadi kita buat persiapan sekarang dengan andaian akan ada pertandingan hebat. Kalau tak berlaku itu kira bonus. Kita mengambil contoh apa yang berlaku pada PRK Chini. Walaupun PH tak letak calon tapi ada dua Bebas.

"Asal ada sahaja yang bertanding melawan kita, kita beranggapan mereka adalah musuh yang berpotensi. Kita tidak akan mengambil mudah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai calon pula, Saarani yang juga Pengarah PRK DUN Slim berkata, kriteria pemilihan berdasarkan populariti dan boleh diterima rakyat di DUN berkenaan.

Katanya, terdapat ramai calon yang berpotensi dan senarai tersebut masih lagi diperhalusi sebelum keputusan dibuat.

"Seorang wakil rakyat mestilah calon yang dikenali dan diterima ramai bukan sahaja oleh ahli parti UMNO atau penyokong BN tetapi pengundi-pengundi kerana ahli UMNO sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya. Kita memerlukan undi daripada pengundi lain yang tidak berparti.

Artikel Berkaitan:

"Kriteria mudah sahaja, seorang yang diterima ramai bukan sahaja parti tetapi oleh pengundi keseluruhannya, jadi kerana itulah kita memerlukan masa untuk memilih calon kerana kita perlu diperhalusi," katanya yang juga Exco Kerajaan Perak.

Sebelum ini, PKR Perak memberi bayangan parti itu tidak akan meletakkan calon pada PRK DUN Slim atas faktor tidak mahu menyusahkan rakyat selain negara masih berdepan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon manakala 25 Ogos hari pengundian awal diikuti hari pengundian sebenar pada 29 Ogos depan.