X

Kindly register in order to view this article
!

Perak pertimbang guna hotel sebagai pusat kuarantin

Ahmad Faizal (hadapan, tengah) bersama pegawai kanan kerajaan, ahli exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedia mempertimbangkan hotel sebagai pusat kuarantin koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain itu Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak akan turut meneliti fasiliti kerajaan yang telah diwartakan sebelum ini sebagai pusat kuarantin Covid-19.

Menurutnya, pembukaan pusat kuarantin dilihat penting bagi mengawal pergerakan individu yang diarah dikuarantin di rumah kerana berlaku perlanggaran arahan sebelum ini.

"Untuk negeri ini, kita berpandangan amat penting untuk adakan pusat kuarantin kerana berlakunya mereka yang perlu dikuarantinkan ini tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan keluar rumah dan sebagainya. Ini sesuatu yang membahayakan rakyat.

"Kita mencari jalan untuk memastikan bahawa pusat kuarantin ini dibuka semula sama ada di hotel atau di fasiliti kerajaan yang diwartakan. Kita akan berbincang dengan pihak hotel terutama hotel-hotel yang terpaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bahawa kerajaan negeri berhak menentukan lokasi pusat kuarantin Covid-19 sama ada mahu menggunakan hotel atau sebaliknya.

Ahmad Faizal berkata, individu yang berkemampuan boleh ditempatkan di hotel manakala bagi mereka tidak mampu fasiliti kerajaan yang diwartakan sebelum ini akan digunakan.

"Setakat ini kerajaan negeri belum putuskan secara rasmi namun kita tiada masalah untuk menggunakan hotel sebagai pusat kuarantin.

"Saya percaya MKN Perak sudah memulakan usaha berbincang dengan pihak hotel dan sama ada kita perlu buka semula fasiliti kerajaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan membuat keputusan tersebut secepat mungkin.

Ketika tempoh PKP sebelum ini, kerajaan Perak membuka tiga pusat kuarantin masing-masing dua di Ipoh dan satu di Tanjung Malim.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!