X

Kindly register in order to view this article
!

Status Rossi, Petronas Yamaha SRT diputuskan pada GP Styria

Rossi sedang beraksi.
A
A

PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) sedang memuktamadkan perjanjian dengan pihak Yamaha berhubung penyertaan juara dunia tujuh kali kelas MotoGP, Valentino Rossi dalam pasukan berkenaan musim depan.

Prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata keputusan penyertaan pelumba Itali itu, yang dikenali dengan panggilan ‘The Doctor’, dijangka diketahui pada Grand Prix (GP) Styria yang dijadual berlangsung di Litar Red Bull Ring-Spielberg, Austria pada 23 Ogos ini.

“Saya boleh katakan perbincangan sudah hampir sampai ke penghujung tetapi apa yang dia lakukan pada perlumbaan di GP Andalusia (menamatkan perlumbaan di tempat ketiga walaupun bergelut dengan masalah jentera) memang positif itu yang kita mahukan.

“Namun kita hendak tengok lagi pusingan seterusnya (di Litar Brno). Kita tahu sedikit sebanyak apa yang dia lalui dalam pasukan Yamaha di mana mereka buat rombakan besar-besaran,” katanya kepada media tempatan menerusi aplikasi Google Hangouts, semalam.

Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP sebelum ini, mengumumkan pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo akan menyertai mereka pada musim hadapan manakala Rossi dikhabarkan sudah menyatakan persetujuan untuk mewakili pasukan satelit Yamaha berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Razlan memaklumkan mereka kini sedang meneliti punca masalah jentera seorang lagi pelumba pasukan itu, Franco Morbidelli menjelang saingan GP Republik Czech di Litar Brno pada 9 Ogos.

Pelumba Itali, yang lebih dikenali dengan panggilan Franky, gagal menamatkan perlumbaan yang berbaki sembilan pusingan akibat masalah teknikal dan terpaksa menarik diri pada perlumbaan GP Andalusia di Litar Jerez, Sepanyol pada Ahad lepas.

Ia sekali gus mengundang rasa hairan dalam kalangan krew teknikal pasukan berkenaan memandangkan enjin sama turut digunakan Quartararo, yang meraih kemenangan berturut-turut pada GP Andalusia selepas GP Sepanyol di litar sama pada 19 Julai. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!