IOW Merdeka laksana 3,060 program di 153 daerah

Artis Pentarama Jabatan Penerangan menyanyi sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra hari ini. Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Artis Pentarama Jabatan Penerangan menyanyi sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra hari ini. Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Unit bergerak Jabatan Penerangan (Japen), Info on Wheels (IOW), akan melaksanakan sebanyak 3,060 program di 153 daerah di seluruh negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Dikenali sebagai IOW Merdeka, pelepasan unit berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Perdana Putra di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Japen Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata, IOW Merdeka telah memulakan aktivitinya sejak 16 Julai lepas dan akan berakhir pada 16 September nanti.

"IOW akan pergi ke lokasi seperti kampung dan taman perumahan dan menguar-uarkan pelbagai maklumat mengenai Hari Kebangsaan seperti mengajak rakyat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

"Kami juga mengedarkan risalah tentang tatacara pemasangan bendera dengan cara yang betul," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu.

Mohd Sukari berkata, IOW turut menjalankan program Merdeka@Komuniti di semua 122 kawasan Parlimen melibatkan 666 program bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat.

"Di samping itu, kami juga menyelitkan maklumat lain seperti memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) dengan memberi penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada masyarakat," katanya.

Menurut Mohd Sukari, IOW Merdeka juga membantu agensi kerajaan lain dalam membuat hebahan bermaklumat kepada orang awam antaranya mengenai Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

Artikel Berkaitan:

IOW Merdeka turut menguar-uarkan program Merdeka Moments yang menggalakkan rakyat Malaysia memuat naik gambar atau video mengenai aktiviti pemasangan atau kibaran Jalur Gemilang ke media sosial dengan menyertakan tanda pagar #merdekamoments #MalaysiaPrihatin dan #KibarJalurGemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Untuk rekod, IOW sebelum ini telah bergerak sejak 23 Jan lepas dan diperhebatkan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac berikutan penularan Covid-19.

Sehingga 26 Julai lepas, IOW secara keseluruhannya telah melaksanakan sebanyak 12,785 program meliputi 53,691 lokasi di seluruh negara. - Bernama