Kerajaan akan buka semula permohonan lesen nelayan pantai

Ronald (tengah) dan pegawai-pegawainya bersama wakil nelayan yang hadir pada program Walkabout Bersama Nelayan di LKIM Dungun semalam.
Ronald (tengah) dan pegawai-pegawainya bersama wakil nelayan yang hadir pada program Walkabout Bersama Nelayan di LKIM Dungun semalam.
A
A
A

DUNGUN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perikanan akan membuka semula permohonan lesen nelayan pantai (Zon A) bagi nelayan aktif dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, isu lesen memerlukan perhatian sewajarnya memandangkan nelayan sentiasa terdedah kepada risiko ketika di laut.

Menurutnya, nelayan tidak akan mendapat faedah atau bantuan jika berlaku bencana atau kemalangan serta bantuan elaun sara hidup nelayan, minyak bersubsidi dan manfaat lain sekiranya tidak mempunyai lesen.

“Dalam proses melesenkan nelayan ini nanti, pihak Jabatan Perikanan juga akan melihat kepada pemegang-pemegang lesen sedia ada yang bukan nelayan tulen.

“Kita akan mewujudkan satu pangkalan data nelayan Zon A, termasuk pemutihan nelayan dan memberikan lesen baharu kepada nelayan aktif,” katanya ketika mengadakan lawatan Walkabout Bersama Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun semalam.

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim dan Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latiff.

Kerajaan sebelum ini membekukan pengeluaran lesen meliputi kawasan Zon A, B dan C kecuali Zon C-2 iaitu laut dalam, bertujuan bagi memastikan setiap permohonan lesen baharu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

Sementara itu, seorang nelayan di Dungun, Wan Yusoff Wan Mohamad, 52, melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan kerajaan yang sentiasa mendengar rintihan nelayan khususnya nelayan pantai.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Dungun berkata, nelayan sudah lama menantikan pengumuman pemberian lesen itu.

“Ramai nelayan pantai yang tidak mempunyai lesen kerana kerajaan sebelum ini membekukan sementara permohonan lesen. Di Dungun sahaja ada kira-kira 150 nelayan yang tidak berlesen.

“Bila permohonan lesen dibuka semula, ia akan memberi sinar baharu kepada nelayan aktif yang benar-benar memerlukan lesen,” katanya.

Seorang lagi ALP PNK Dungun, Fatimah Abdul Ghani, 65, yang juga isteri kepada nelayan pantai berkata, keprihatinan kerajaan mengenai masalah lesen merupakan rahmat yang tidak terhingga kepada keluarga nelayan.

“Saya mewakili isteri-isteri nelayan rasa sungguh terharu. Selama ini kami dengar rintihan suami yang tidak berlesen, yang bimbangkan nasib keluarga mereka.

“Jika berlaku malapetaka, keluarga tidak akan dapat apa-apa pampasan kalau nelayan tidak berlesen.

“Apabila ada lesen, memudahkan urusan untuk membuat tuntutan insurans, khairat kematian dan urusan Perkeso.

Nelayan berlesen mendapat elaun sara hidup RM250 sebulan akan membuat pemotongan untuk insurans dan Perkeso,” katanya.