'Ini tanggungjawab kita'

Foto: FA Selangor
Foto: FA Selangor
A
A
A

PENYERANG import Selangor, Rufino Segovia mengharapkan kerjasama semua pihak untuk memastikan kes Covid-19 di negara ini tidak terus meningkat dan saingan Liga Malaysia (Liga-M) dapat berjalan seperti dirancang pada 26 Ogos depan.

Menurutnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam memutuskan kembali rantaian virus tersebut yang sebelum ini sudah pun menunjukkan petanda positif.

“Saya memang sentiasa mengikuti berita mengenai Covid-19 dan memang kita dapat tengok kes ada naik dan turun.

“Cuma, kita kena bersyukur apabila sukan bola sepak akhirnya dapat kembali selepas sekian lama dan sudah pasti, kita inginkan yang terbaik untuk Liga Malaysia selepas ini, jadi saya harap kita semua dapat jalankan tanggungjawab masing-masing agar tiada lagi kes serius berlaku selepas ini," katanya.

Terdahulu, kes Covid-19 di negara ini kembali menunjukkan peningkatan dan kerajaan Malaysia tidak teragak-agak untuk kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya bilangan positif mencecah tiga angka.

Malah, persediaan pasukan untuk mengharungi saingan Liga-M turut terkesan dengan kes positif Covid-19 apabila salah seorang pemain pasukan Liga Premier, Kuching FA disahkan positif dengan kluster Hospital Sentosa.

Ia sekali gus dilihat turut akan memberikan impak kepada saingan Liga-M yang akan bersambung semula bulan depan.

Dalam masa sama, Segovia menyifatkan pihak Kerajaan Malaysia sudah melakukan yang terbaik dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kini ia menjadi tugas rakyat Malaysia pula untuk membantu dalam memastikan tiada lagi peningkatan kes yang ketara untuk peminat bola sepak dapat kembali menikmati Liga-M," katanya.