'Saya tidak mahu letak harapan tinggi'

Flandy Limpele
Flandy Limpele
A
A
A

KETUA jurulatih beregu lelaki negara yang baharu, Flandy Limpele enggan meletakkan sasaran menggunung kepada pemain negara walaupun ada antara mereka mampu memberi saingan sengit kepada beregu terbaik dunia ketika ini.

Pemenang pingat perak acara beregu lelaki di Sukan Olimpik Athens 2004 itu berkata, banyak perkara perlu diperbaiki untuk memantapkan mental dan fizikal skuad beregu lelaki khususnya dalam menghadapi pusingan akhir Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan.

“Semuanya, masih okay untuk saya cuma masih menyesuaikan diri (dengan pemain Malaysia) kerana masih baharu (di sini). Saya ingin berterima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan pemerintah (kerajaan Malaysia) yang memudahkan proses visa kerja serta imigrasi saya.

“Saya cuba beri yang terbaik untuk pasukan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas memulakan tugas rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

Flandy yang sebelum ini pernah berkelana ke Jepun dan India berkata, beliau akan memberi fokus sama rata kepada skuad beregu lelaki sama ada senior atau pemain remaja.

Beliau turut menjelaskan bahawa perbezaan budaya di India serta kedudukan Malaysia yang hampir dengan negara kelahirannya menjadi faktor bersetuju menyertai BAM.

Pada Mac lepas, BAM mengumumkan penstrukturan semula jurulatih kebangsaan yang menyaksikan Flandy dilantik sebagai ketua jurulatih beregu lelaki yang baharu menggantikan Paulus Firman yang ditugaskan membimbing skuad beregu campuran.

Menurut Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pemilihan jurulatih berusia 47 tahun itu susulan peranan Flandy membantu beregu India Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy meraih kedudukan kelompok 10 terbaik dunia tahun lepas. -Bernama

Artikel Berkaitan: