PN tidak akan bertahan lama, kata Khalid

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan kerajaan yang lemah dan tidak akan bertahan lama kerana terhasil daripada sokongan yang diasaskan pengkhianat.

Khalid Abdul Samad (Shah Alam-Amanah) berkata, malah kedudukan kerajaan PN seolah-olah telur di hujug tanduk walaupun mereka mendapat sokongan kuat daripada UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, kerajaan lemah serta ditubuhkan atas dasar zalim tidak akan menghasilkan keyakinan mahupun rasa aman terutama dalam kalangan pelabur dan rakyat.

"Tindakan khianat yang tidak bertanggungjawab menghasilkan kerajaan lemah serta kerajaan tidak dihormati.

"Malah, pengkhianatan ini bercanggah dengan kepentingan negara serta satu kezaliman kepada rakyat yang memberi mandat," katanya ketika sesi perbahasan di Parlimen hari ini.

Tegasnya, berbeza dengan kerajaan asal sebelum ini iaitu Pakatan Harapan (PH) yang kukuh, malah pelabur dan rakyat juga selesa.

Dalam pada itu, Khalid berkata, kerjasama PN dengan Muafakat Nasional jelas merupakan kesatuan atas faktor Melayu Islam semata-mata.

Menurutnya, ia tidak memberi penekanan dan penegasan kepada persoalan keadilan dan menentang kezaliman.

Artikel Berkaitan:

"Atas semangat mahu kesatuan orang Melayu Islam mereka sanggup bersekongkol dan bersepakat menjatuhkan kerajaan PH.

"Maknanya mereka bersatu atas dasar kaum dan agama sama tetapi tidak mencukupi, malah ia satu asas yang rapuh kerana ia adalah kerajaan yang dibentuk sekadar di mana ahli Parlimen diikat melalui tawaran jawatan dan kedudukan sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri termasuk jawatan dalam GLC," katanya.

Tambahnya, beliau tidak hairan jika UMNO dan pihak lain sokong pengkhianat untuk membentuk kerajaan tetapi mengapa Pas sanggup bersekongkol sedangkan pengkhianatan satu sikap atau pendirian yang bercanggah dengan Islam.

"Islam utamakan sikap amanah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan khianat," katanya.