Lelaki maut dihempap pembajak

Lokasi mangsa ditemui maut selepas jentera pembajak yang dipandunya jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter. - Foto ihsan pembaca
Lokasi mangsa ditemui maut selepas jentera pembajak yang dipandunya jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pemandu jentera pembajak maut selepas kenderaan dipandunya itu terhumban ke dalam gaung lalu menghempapnya dalam kejadian di Kampung Sakar Tepi Sungai, Tendong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 12.40 tengah hari itu, Muhammad Rizalman Muhammad Nawawi, 42, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Difahamkan kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang bersama sebuah lagi jentera selepas melakukan kerja-kerja membajak di kawasan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah hari.

"Seramai enam anggota diketuai oleh Komandan Operasi, Pegawai Kanan Bomba II Zakuan Ismail telah dikerah ke lokasi untuk tugas-tugas membantu dan menyelamat.

"Setiba di lokasi kejadian, kami dapati mangsa terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter. Bukan itu sahaja jentera pembajak telah menghempap mangsa menyebabkan dia maut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah beliau, pihak bomba terpaksa menggunakan alat pengusung untuk mengeluarkan mangsa dari gaung tersebut.

"Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: