Apa dah jadi dengan ahli Parlimen?

Dewan Rakyat telah lama mewujudkan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat namun tidak dihayati oleh semua ahli Parlimen di Malaysia pada masa ini.
Dewan Rakyat telah lama mewujudkan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat namun tidak dihayati oleh semua ahli Parlimen di Malaysia pada masa ini.
A
A
A

KETENTERAMAN biasa saya menikmat kopi-O panas pada pagi hari sambil membaca akhbar harian terganggu pada Rabu lalu selepas membaca Sinar Harian dengan tajuk muka depannya ‘Dewan Rakyat Mula Kawal Ahli Parlimen celupar’, serta laporan ‘Perkataan Rasis, Biadab Dilarang’ di halaman dua, dan laporan susulannya di halaman tiga.

Perasaan ini berterusan apabila saya meneliti ‘kronologi kes ahli Parlimen guna perkataan kesat di Dewan Rakyat’ dari 18 Julai 2018 hingga 18 Julai 2020.

Petang itu, saya ditanya oleh jiran (yang telah membaca perkara yang sama), “Apa dah jadi dengan ahli Parlimen kita? Apakah kita tak ada undang-undang untuk mengawal mereka?”

Saya katakan padanya saya juga berasa sedih dengan perkara ini. Mengenai undang-undang, saya katakan padanya, “Mereka ini tahu ada undang-undang, tapi sengaja tak ambil peduli.”

Saya jelaskan kepada jiran saya bahawa di bawah Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan, setiap satu dewan Parlimen kita dikehendaki membuat peraturan mengenai acaranya sendiri. Dewan Rakyat telah lama mewujudkan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Malangnya, barangkali apa yang tersurat belum dapat dihayati sepenuhnya oleh semua ahli Parlimen kita pada masa ini.

Profesionalisme

Apabila saya kemukakan isu ini kemudian kepada seorang sahabat, beliau menjawab hendaknya pada suatu hari nanti semua ahli Parlimen kita boleh capai tahap profesionalisme ahli Parlimen di House of Commons di England.

Bagi Datuk CKL (pengamal undang-undang), beliau berharap Speaker yang ada sekarang boleh bertindak tegas mengawal tingkah laku ahli Parlimen, agar dewan yang mulia tidak menjadi dewan yang mengaibkan kita. Dia sedih melihat ramai ahli Parlimen kita yang masih tidak berupaya berucap dengan baik dan sempurna, sebaliknya hanya mampu melontarkan kata-kata yang kurang sopan semata-mata untuk mengganggu ahli lain meneruskan ucapan atau hujah mereka.

Artikel Berkaitan:

Seorang sahabat lain berpendapat ahli Parlimen yang bermasalah ini mungkin sudah lupa asas etika dan adab.

Menarik sekali pada 21 Julai lalu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengingatkan semua ahli Parlimen agar tidak menggunakan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis sepanjang persidangan.

Tambahnya, tindakan akan diambil di bawah Peraturan Majlis sekiranya ada ahli Parlimen yang degil dan terus menggunakan perkataan-perkataan sedemikian pada masa depan.

Kejadian di Dewan Rakyat minggu lalu mengingatkan saya kepada peristiwa dua tahun dahulu (Ogos 2018) apabila ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin diberi amaran akan diarah keluar Dewan jika beliau mengulangi perbuatannya menggunakan perkataan lucah, biadab dan tidak sopan sepanjang persidangan.

Walaupun beliau kemudian telah memohon maaf, Speaker Dewan Rakyat mengingatkan bahawa perbuatannya itu tetap salah kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 36(4).

Peraturan itu menyatakan, “Adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan yang seksis.”

Ekoran laporan akhbar Sinar Harian pada Rabu lalu itu, persoalannya apakah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang kita ada sekarang sudah cukup kuat untuk menangani masalah ahli Parlimen yang degil dan tidak mampu mempamerkan tingkah laku yang sopan dan beradab ketika berada dalam Dewan?

Mengikut Peraturan 41(e), apabila ada seorang ahli Parlimen sedang berucap, ahli-ahli lain hendaklah diam dan tidak boleh mengganggu dengan cara kurang adab. Malangnya, apa yang kita lihat di kaca televisyen adalah sebaliknya yang berlaku.

Membantah

Peraturan 42 pula menyatakan apabila seorang ahli Parlimen itu ditegur oleh Speaker mengenai suatu peraturan mesyuarat, ahli yang sedang bercakap itu 'hendaklah duduk dan Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa hendaklah diam supaya cakap Speaker boleh didengar dengan tidak terganggu'.

Apa yang kita lihat sering berlaku adalah apabila Speaker membuat teguran, ahli Parlimen berkenaan suka membantah dan menjawabnya balik.

Penting sekali, Speaker ada ‘kuasa pengusiran’. Di bawah Perturan 44(2), Speaker ‘hendaklah’ memerintah mana-mana ahli Parlimen yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat atau terus tidak mengendahkan kuasa Speaker 'untuk keluar daripada Majlis Mesyuarat bagi tempoh tidak melebihi sepuluh hari dan ahli tersebut hendaklah dengan serta-merta keluar daripada Majlis Mesyuarat'.

Istilah ‘hendaklah’ itu bermakna Speaker tidak ada pilihan. Ahli Parlimen yang bermasalah itu hendaklah (mestilah) diusir keluar Dewan.

Akhir sekali, di bawah Peraturan 44(3) pula, Speaker ada kuasa ‘memulakan prosedur untuk menggantung perkhidmatan’ seseorang ahli Parlimen.

Kesimpulannya, jika ada ahli Parlimen yang suka cakap celupar, lucah, kurang sopan atau mengganggu perjalanan Dewan Rakyat, atau enggan mematuhi arahan Speaker, dia ‘hendaklah’ (mesti) diusir keluar dari Dewan bagi satu tempoh yang ditetapkan, atau jika perlu, dikenakan hukuman yang lebih berat, iaitu digantung keahliannya.

Bagi Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, perangai buruk sesetengah ahli Parlimen itu sebenarnya bertujuan mendapatkan populariti murah. Hakikatnya, perbuatan mereka itu mencerminkan keperibadian mereka yang tidak matang dan beradab.

Dalam portal rasmi Dewan Rakyat Kanada, saya temui satu dokumen bertajuk Rules of Order and Decorum yang memperincikan cara ahli Parlimen bercakap.

Antara perkara yang disebut adalah contoh “unparliamentary language” yang mesti dielakkan, iaitu bahasa yang menyakitkan, provokatif, mengancam, serangan peribadi, perkataan atau bahasa yang lucah dan menghina.

Dalam portal rasmi Parlimen India, ada dokumen bertajuk Parliamentary Decorum and Etiquettes yang barangkali elok dibaca dan diambil pengajaran oleh ahli-ahli Parlimen kita yang masih bermasalah.

*Profesor Datuk Salleh Buang ialah Pakar Undang-Undang