MOTAC cadang buka sempadan kepada wilayah hijau

Nancy ketika melancarkan Kempen 'Meet in Malaysia' di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Nancy ketika melancarkan Kempen 'Meet in Malaysia' di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang membuka sempadan kepada wilayah hijau negara luar bagi membantu sektor pelancongan negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama Kementerian Luar Negeri (LKN) pada Isnin ini.

"Ini merupakan perbincangan peringkat pegawai kementerian bagi mengenal pasti wilayah yang mungkin kita boleh bekerjasama," katanya.

Menurutnya, cadangan gelembung perjalanan (travel buble) itu menyasarkan negara yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

"Kemungkinan kita mengadakan gelembung perjalanan dengan negara berstatus hijau wabak koronavirus (Covid-19) seperti Australia, Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Taiwan), Jepun, New Zealand, Republik Korea, Singapura, Thailand, Kemboja dan Vietnam," katanya.

Beliau berkata, mengambil contoh Langkawi, ia mungkin boleh dilakukan terhadap pulau itu berikutan ia mempunyai kemudahan lapangan terbang antarabangsa.

"Perkara sama boleh dilakukan terhadap wilayah atau provinsi seperti Bali, di Indonesia jika ia bersesuaian," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen 'Meet in Malaysia' di sini.

Ditanya mengenai prosedur bagi memastikan individu di wilayah merah menggunakan wilayah hijau untuk memasuki negara ini, Nancy berkata, ia tidak semudah itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan membuat penilaian dan perbincangan. Begitu juga pergerakan mereka semua pihak dan kita berhati-hati dalam perkara ini," katanya.