Negeri Sembilan fokus pembangunan luar bandar

Aminuddin (tengah) pada sidang medianya semalam.
Aminuddin (tengah) pada sidang medianya semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri akan beri tumpuan kepada kawasan luar bandar melalui Pelan Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2019 – 2040 dalam usaha memajukan negeri ini ke arah lebih mampan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddun Harun berkata, pembangunan tersebut melibatkan lima kawasan luar bandar iaitu Rembau, Tampin,Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah.

Katanya, keseluruhan pelan berkenaan akan diumumkan sekitar pertengahan tahun ini.

"Pelan ini nanti meliputi pelbagai sektor termasuk pembangunan perumahan, pekan lama, perkampungan orang asli, perindustrian, infrastruktur dan pelancongan.

"Usaha ini diyakini dapat memberi manfaat kepada 32 peratus penduduk luar bandar di negeri ini mengikut fasa dan keperluan secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Beliau berkata, pembangunan terancang melibatkan kawasan luar bandar ini diyakini dapat merancakkan lagi ekonomi di negeri ini.

"Sebelum ini , kita ada MVV (Malaysia Vision Valley), maka penting untuk kerajaan negeri ambil tindakan supaya tidak mengabaikan pembangunan luar bandar susulan penduduk di kawasan ini memainkan peranan dalam membangunkan negara antaranya dalam aspek pertanian dan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Jika penduduknya berhijrah, maka ia akan menimbulkan masalah kepada pelaksanaan pelan ini," katanya.