X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

DAP pertahan tindakan Jannie tolak politik wang, jawatan

Lim Guan Eng
A
A

SHAH ALAM - DAP mempertahankan tindakan Pembantu Menteri Sabah merangkap ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang yang didakwa menolak politik wang dan tawaran jawatan bagi mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh rakyat Sabah.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini telah memberi amaran yang jentera negara telah dimanipulasikan untuk menakutkan wakil-wakil rakyat dan menggalakkan pengkhianatan dalam kalangan mereka.

Menurutnya, ia bagi menjatuhkan kerajaan negeri Sabah sekarang bagi membentuk sebuah kerajaan baharu yang menyokong Kerajaan Persekutuan.

Kata beliau, Shafie juga tegas menentang penubuhan kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) dan menghormati keputusan rakyat pada 2018 untuk memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) Plus.

"Tambahan pula terdapat laporan yang disebarkan tentang cubaan untuk menggunakan politik jijik bagi membeli wakil-wakil rakyat dengan jawatan dan duit.

"DAP dengan tegas menentang tawaran sebegini, malah ada yang sanggup menawarkan sejumlah RM32 juta selain jawatan Timbalan Ketua Menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) mendakwa wujud usaha membeli wakil rakyat di Sabah supaya menyertai blok kerajaan pimpinan PN di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepanggar, Mohd Azis Jamman berkata, wakil kerajaan juga mengarahkan ejen untuk memujuk wakil rakyat di Sabah yang diterajui Warisan supaya meninggalkan parti itu.

Guan Eng berkata, bagi membuktikan jentera kerajaan tidak digunakan sebagai alat politik, tindakan tegas harus diambil terhadap ejen politik itu atau diibaratkan seperti' saudagar katak'.

"DAP amat berbangga bila wakil rakyat kami secara terbuka mencela ejen-ejen politik ini dan meminta ejen-ejen ini agar tidak lagi mengganggu mereka lagi kerana pimpinan DAP bukan katak yang boleh diperdagangkan.

"DAP menegaskan sekali lagi yang kami memberi sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah," katanya.

Katanya, DAP akan memberi dukungan dan bantuan kepakaran undang-undang kepada semua wakil rakyatnya di Sabah yang diganggu dan diugut.

"Wakil rakyat kami, Jannie Lasimbang kini diancam dengan tindakan undang-undang kerana mendedahkan apa yang terjadi. Saya telah meminta peguam-peguam kanan DAP iaitu Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Biro Guaman DAP, Ram Karpal untuk memberikan bantuan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!