Terjun parit elak ditahan AADK

Kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam parit.
Kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam parit.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Dua lelaki terjun ke dalam parit selepas menyedari mereka diekori anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam kejadian di Nibong Tebal di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan masing-masing sebagai penunggang dan pembonceng sebuah motosikal.

Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung berkata, selepas menyedari kehadiran anggota penguatkuasaan mereka terus memecut laju motosikal sebelum bertindak melompat terjun ke dalam parit bagi melarikan diri.

Menurutnya, anggota AADK telah mengarah kedua-dua mereka untuk naik ke tepi jalan namun hanya penunggang yang naik manakala pembonceng enggan memberikan kerjasama.

"Usaha memujuk hampir 30 minit menemui jalan buntu hingga menyebabkan anggota AADK menghubungi talian kecemasan untuk memohon bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membawa suspek naik ke atas.

"Anggota APM dan AADK berjaya menyelamatkan suspek dengan menarik suspek tersebut dengan menggunakan pelampung dan kedua-dua suspek dibawa balik ke pejabat AADK Seberang Perai Selatan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

Elmariah berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis morfin.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah 1983.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman perintah menjalani pemulihan dalam institusi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) selama dua tahun atau pemulihan dalam komuniti selama dua hingga tiga tahun.