Kedah kekal ketetapan solat berjemaah di masjid, surau

Fadzil Awang
Fadzil Awang
A
A
A

ALOR SETAR - Solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah di semua masjid dan surau di Kedah kekal dengan ketetapan sebelum ini iaitu berdasarkan keluasan masjid dan surau dengan penjarakan sosial minimum satu meter.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang bagaimanapun berkata, sekiranya kehadiran jemaah melebihi kapasiti masjid, dibolehkan mendirikan khemah dalam pekarangan masjid.

Menurutnya, semua jemaah masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu penjarakan sosial selain membawa sejadah sendiri serta berwuduk dari rumah.

“Masjid dan surau hanya dibuka sejam sebelum waktu solat, dan satu jam 30 minit sebelum solat Jumaat. Masjid akan ditutup selepas solat kecuali ada pengajian al-Quran dan kuliah agama selepas solat Maghrib dan Subuh, namun tidak melebihi 30 minit. Masjid boleh dibuka untuk majlis akad nikah dan pengurusan jenazah bukan Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Fadzil berkata, jemaah terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa, serta anak kariah tanpa kehadiran warga asing serta jemaah yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, dan selesema tidak dibenarkan.

“Pengurusan masjid perlu pastikan jemaah yang menghidap penyakit kronik dan berumur 15 tahun ke bawah tidak dibenarkan. Jemaah hendaklah memakai pelitup muka dan menggunakan sanitasi tangan yang disediakan pihak masjid,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa mana-mana masjid dan surau yang tidak mematuhi arahan, boleh dikenakan tindakan dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta.

Tambah beliau, arahan berkenaan berkuatkuasa bermula 25 Jun lalu.

Artikel Berkaitan: