Lebih banyak surau dipertimbang kebenaran solat Jumaat: JAWI

MOHD AJIB ISMAIL
MOHD AJIB ISMAIL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan akan menimbangkan lebih banyak surau diberi kebenaran sementara bagi membolehkan lebih ramai umat Islam mengerjakan solat Jumaat.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, kebenaran diberikan kepada surau-surau di Wilayah Persekutuan yang mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP).

“Bagi memberi ruang yang lebih besar kepada umat Islam untuk mendirikan solat Jumaat, hampir 20 surau biasa diberi kebenaran termasuk tujuh surau dilulus bermula 17 Julai lepas dan ada lagi dilulus bermula 24 Julai (esok),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Pemahaman Akta/Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019 dan majlis penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid Dan Surau Jumaat Sesi 2020-2023, di Masjid Wilayah Persekutuan.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mohd Ajib berkata, kelulusan akan diberikan dalam kadar segera bagi membenarkan orang ramai menunaikan solat Jumaat setelah memenuhi syarat berdasarkan kedudukan dan keluasan surau serta kemampuan menampung jemaah selain mematuhi SOP.

Pada majlis itu, pelantikan watikah berkenaan membabitkan 89 masjid dan 107 surau Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: