X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan digesa perluas bantuan khas OKU

Kerajaan digesa memperluas pemberian bantuan khas menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kepada semua pemegang kad OKU di negara ini. - Foto 123RF
A
A

SEREMBAN - Kerajaan digesa memperluas pemberian bantuan khas menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kepada semua pemegang kad orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, ini kerana tidak semua pemegang kad OKU layak menerima bantuan khas sebanyak RM300 berkenaan.

Menurutnya, penerima yang layak adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti penerima Elaun Pekerja Cacat (EPC), bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT).

"Di Negeri Sembilan, seramai 8,349 OKU layak menerima bantuan khas berkenaan melibatkan bantuan berjumlah RM2.50 juta.

"Bagaimanapun, seramai 129 OKU yang menerima bantuan am daripada kerajaan negeri (B4U) tidak layak mendapat bantuan khas kerajaan Pusat itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pemilik kad OKU yang tidak dapat bantuan daripada kerajaan Pusat tersebut.

"Oleh demikian saya menggesa kerajaan Pusat supaya memperluaskan bantuan khas itu kepada penerima bantuan am OKU di negeri ini sekali gus dapat meringankan beban ditanggung berikutan pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya.

Di bawah Penjana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu, seramai 300,000 OKU dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah JKM layak menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban golongan tersebut.

Bayaran berkenaan akan disalurkan kepada golongan penerima itu sebelum Aidiladha.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!