Empat jari putus ditetak, polis cari 'Kittang'

Polis mencari 'Kittang' untuk bantu siasatan kes pergaduhan di Bandar Bukit Tinggi 2, Klang semalam.
Polis mencari 'Kittang' untuk bantu siasatan kes pergaduhan di Bandar Bukit Tinggi 2, Klang semalam.
A
A
A

KLANG - Gara-gara perselisihan faham berkenaan teman wanita, seorang lelaki parah ditetak hingga putus empat jari dalam kejadian di pangsapuri di Bandar Bukit Tinggi 2, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan kira-kira jam 10.40 malam itu melibatkan tiga lelaki.

"Suspek iaitu dua lelaki dipercayai bertindak menyerang mangsa menggunakan parang.

"Serangan itu menyebabkan mangsa berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah putus empat jari tangan kanan serta kecederaan lain di badan dan kepala akibat tetakan. Mangsa yang kritikal kini dirawat di Zon Merah Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki kejadian berpunca akibat perselisihan faham berkenaan teman wanita mangsa.

Katanya, susulan itu, seorang lelaki berusia 31 tahun telah diberkas dan usaha mengesan seorang lagi individu dikenali sebagai 'Kittang' berusia 28 tahun sedang dilakukan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan atau balai berdekatan atau menghubungi Asisten Superintenden Zamrus Zakaria di talian 019-6892777.

Artikel Berkaitan: