Muafakat Nasional formula menang PRU

Najib pada program Sinar Live di bangunan Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
Najib pada program Sinar Live di bangunan Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) dijangka menjadi formula utama untuk memberikan kemenangan kepada UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara itu telah berjaya dibuktikan apabila permuafakatan antara parti itu berjaya memenangi enam daripada 11 pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kalau kita buat polling, kita dapat menilai Muafakat Nasional terutama di kawasan luar bandar memang menjadi pilihan utama pengundi, namun kita berkongsi dalam sebuah kerajaan sekarang ini.

“Kita tidak menolak Bersatu tetapi kita masih berunding dengan Bersatu bagaimana untuk mencapai satu formula. Tetapi asasnya kalau MN saya menganggap sebagai satu formula yang boleh dikatakan winning formula. Ia terbukti sebab kita sudah melalui PRK, bermula (daripada) PRK Cameron Highlands. Sudah terbukti dalam enam PRK.

“Muafakat Nasional adalah satu bentuk kesepakatan politik yang amat diterima pada masa sekarang,” katanya pada program Sinar Live di sini semalam. Moderator temu bual bertajuk ‘Apa Khabar Bossku?’ itu ialah Haslina AR Kamaludin.

Dalam pada itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri, mantan Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Pekan berkata, terdapat dua model yang sedang dibincangkan oleh BN untuk menghadapi PRU15.

“Ini masih dalam perbincangan sebab kita ada dua model iaitu BN, Pas dan plus-plus. Yang cantiknya pada plus-plus ini ia tiada had, siapa yang boleh terima MN boleh bersama dengan kita,” ujar beliau.

Tambah beliau, antara perkara penting yang turut dibincangkan ialah tentang logo yang bakal digunakan untuk menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

“Kena bincang logo parti. Pada awalnya ramai orang kata simbol atau logo BN tidak laku tapi enam PRK lalu yang kita menang besar dengan memakai logo BN.

“Sekarang semua orang dah terima, bermakna simbol atau logo BN ini masih relevan dan diterima sepenuhnya oleh pengundi,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Najib, perkara yang akan menjadi halangan besar kepada Muafakat Nasional ialah tentang pembahagian kerusi antara parti.

“Yang paling rumit ialah berkaitan pembahagian kerusi. Ini yang akan menguji kita sama ada dalam coalition kita tidak kira PN, Muafakat Nasional ke, bagaimana formula pembahagian kerusi yang boleh diterima oleh semua pihak.

“Semua itu akan menentukan penyudahnya. Tapi kalau lihat secara on the ground di kawasan luar bandar, mereka lebih berminat kepada MN tapi kita tidak menolak pintu rundingan dengan parti Bersatu dan masih terbuka dengan apa yang boleh dicapai dalam rundingan dengan mereka kerana kita mahu kerajaan yang kuat dan kukuh,” jelas beliau.