X

Kindly register in order to view this article
!

Ketegasan FAM wajar diberi pujian

A
A

Isu pengambilan pemain naturalisasi atau berdarah warisan skuad Harimau Malaya kembali hangat diperkatakan. Ia susulan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak meneruskan proses pengambilan Marcel Kalonda.

Kalonda pada awalnya dikhabarkan bakal menjadi pemain terbaharu Harimau Malaya. Namun, selepas FAM membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kalonda didapati mengemukakan dokumen tidak sahih.

Dalam hal ini, pujian harus diberikan kepada FAM kerana tidak sewenang-wenangnya membawa masuk pemain asing. Ketegasan FAM dalam menangani isu Kalonda harus dilihat dari sudut positif.

Tindakan FAM menyelidik status Kalonda itu memang tepat. Ia juga membuktikan bahawa FAM cukup berwaspada dengan pengambilan pemain asing dan bukan sekadar ‘tangkap muat’.

Proses tapisan yang dibuat cukup ketat. Paling penting, FAM tidak terlalu terpengaruh dengan sebarang anasir luar yang boleh merosakkan program naturalisasi atau darah warisan skuad Harimau Malaya.

Memang benar apa yang dikatakan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. Penyokong bola sepak Malaysia dinasihatkan tidak terlalu ghairah apabila mendengar berita seseorang pemain itu mempunyai darah warisan.

Tiada gunanya jika Harimau Malaya terlalu menyandarkan harapan kepada pemain asing tidak kira yang berstatus naturalisasi mahupun berdarah warisan. Dikhuatiri nanti, skuad Harimau Malaya mungkin dilabel ‘harimau celup’.

FAM tidak seharusnya berterusan bergantung harap kepada pemain naturalisasi khususnya untuk meningkatkan mutu bola sepak negara. Mungkin apabila tiba masa yang sesuai, FAM boleh menghentikan mekanisme itu.

Ketika ini, polemik kehadiran pemain berdarah warisan dalam skuad Harimau Malaya tidak banyak diperdebatkan. Tetapi tidak bagi isu membabitkan pemain asing bertaraf naturalisasi.

Harus diakui kehadiran Mohamadou Sumareh, pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya, banyak memberi impak positif. Cuma persoalannya, sampai bila kita perlu bergantung harap kepada pemain naturalisasi untuk menyarung jersi Harimau Malaya?


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!