Penganjuran WCWC2020 kekal guna nama sama

Penganjuran Kejohanan Woodball Piala Dunia Kesembilan 2020 (WCWC2020) akan mengguna pakai nama kejohanan yang sama, meskipun ia akan dilangsungkan pada tahun hadapan
Penganjuran Kejohanan Woodball Piala Dunia Kesembilan 2020 (WCWC2020) akan mengguna pakai nama kejohanan yang sama, meskipun ia akan dilangsungkan pada tahun hadapan
A
A
A

PENGANJURAN Kejohanan Woodball Piala Dunia Kesembilan 2020 (WCWC2020) akan mengguna pakai nama kejohanan yang sama, meskipun ia akan dilangsungkan pada tahun hadapan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara berkenaan telah diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) pada 6 Julai lepas.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan pada 18 Mac lepas, hampir semua kegiatan sukan terhenti seketika. Kini, ia telah dilonggarkan sedikit membolehkan beberapa sukan untuk beroperasi.

“Beta berharap sukan woodball akan kembali beroperasi secepat mungkin, untuk meneruskan momentum yang telah terhenti sejak PKP dikuatkuasakan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga merupakan Penaung Diraja PWNPs berkenan hadir dan melancarkan laman woodball di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar yang akan dinaik taraf bermula Ogos depan.

Ia merupakan laman woodball di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang merupakan satu-satunya di dunia yang boleh diguna pakai bagi kejohanan woodball pada sebelah malam.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah menerusi penaiktarafan laman itu, Perlis bakal mempunyai sembilan laman woodball, termasuk dua yang sedang dibina di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri, dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

Sementara itu, Presiden PWNPs, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ir. Kamarudin Hussin ketika ditemui Bernama berkata, kejohanan akan berlangsung pada 24 hingga 30 Julai 2021.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perancangan rapi persediaan ke arah kejohanan sedang giat dirancang dan dilaksanakan, bagi membolehkan kejohanan ini berjalan dengan lancar, meskipun ketika ini negara sedang berhadapan dengan wabak pandemik Covid-19.

“Kita akan mengadakan pelbagai kejohanan di masa hadapan dalam usaha ke arah WCWC2020 kerana kira-kira 20 pasukan telah mengesahkan penyertaan, bagi menyertai kejohanan ini,” katanya. - Bernama