Air mentah di Sungai Johor berbau pandan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ranhill SAJ Sdn Bhd dengan kerjasama pihak Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) akan menjalankan siasatan lanjut ke atas air mentah di Sungai Johor yang dilaporkan berbau pandan bagi mencari punca kejadian terbabit dan memastikan kualiti air terawat yang dibekalkan berada pada tahap optimum.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nor Ifuan Md Nor berkata, siasatan awal yang dilakukan ke atas air terawat mendapati tiada sebarang tanda pencemaran berlaku malah langkah mengatasi telah dilakukan dan pemulihan secara berperingkat sedang berlaku di kawasan-kawasan yang terjejas.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan pengguna air terawat di beberapa kawasan di daerah ini yang mengalami ‘air berbau pandan’ tidak perlu bimbang akan keselamatan air yang dibekalkan kerana kualiti air terawat yang diterima adalah selamat dan mematuhi piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun sedikit berbau pandan.

“Kita menerima aduan berkenaan sejak semalam membabitkan kawasan Mutiara Rini, Nusa Bestari, Horizon Hill, Setia Indah, Selesa Jaya, Johor Jaya, Kulai IOI, JP Perdana, Skudai Baru dan Desa Skudai dan sudah pun mengambil langkah penyelesaian selepas menjalankan siasatan terperinci dalam sistem bekalan air terawat.

“Bau pandan itu hanya muncul apabila air dididihkan dengan sebab itu siasatan menyeluruh dalam sistem agihan dilakukan segera semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengguna yang mempunyai sebarang nasihat dan bantuan boleh menghubungi Ranhill SAJ melalui melalui talian mesra 1-800-88-7474 atau SMS 63001 atau e-mel di customer.care@ranhill.com.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: