Ibu terkilan tak dapat jumpa Nur Aqilah

Nur Atiqah ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah hari ini.
Nur Atiqah ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Ibu kepada seorang murid perempuan yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Panchor, Durian Tunggal, di sini awal pagi tadi, terkilan kerana tidak dapat bertemu puteri sulungnya itu pada Hari Raya Aidiladha ini.

Nur Atiqah Saadin, 31, berkata, dia begitu merindui mangsa, Nur Aqilah Husna Abdullah, 9, setelah tidak dapat berjumpa kira-kira empat bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Nur Atiqah dari Tampin, Negeri Sembilan tinggal berjauhan dengan anaknya itu setelah berpisah dengan suaminya iaitu bapa kepada mangsa.

"Sedih dan rindu teramat sangat pada arwah. Sebenarnya saya sudah merancang untuk menyambut Aidiladha kali ini bersama arwah.

"Terkejut bila dapat berita kemalangan ini. Sukar untuk saya percaya tapi saya kena reda," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah di sini hari ini.

Nur Atiqah berkata, lebih menyedihkan apabila dia terkenangkan raut wajah yang sedih ketika dia memberitahu hanya dapat mengambil arwah dan adiknya, Mohd Ammar Darwish Amirul Husain, 4, pada Hari Raya Aidiladha.

"Sepatutnya saya nak ambil arwah dan adiknya dalam minggu ini untuk dibawa pulang ke Tampin, namun sesi persekolahan telah bermula hari ini dan saya janji untuk mengambilnya pada hari raya nanti.

"Saya selalu membuat panggilan video dengan arwah dan masih terbayang-bayang wajah arwah dan suaranya akan saya rindukan selalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nur Atiqah berkata, dia juga terkilan kerana tidak dapat mendengar suara Nur Aqilah Husna sebelum melelapkan mata malam tadi kerana anaknya itu tidur awal.

"Malam tadi saya buat panggilan video, ingatkan nak bercakap dengan arwah tetapi dia tidur awal. Jadi saya hanya bercakap dengan adiknya sahaja," katanya.

Nur Aqilah Husna meninggal dunia apabila motosikal dinaiki bersama bapanya, Amirul Husaini Muhammad, 33, dirempuh sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana pada jam 7.20 pagi.

Mangsa yang membonceng motosikal disahkan maut di lokasi kejadian, manakala bapanya cedera di kaki.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beringin, Durian Tunggal selepas solat Zuhur hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Ajal hari pertama sekolah