'Saya akan pastikan mereka patuhi SOP'

Murid SK Meru Raya, di sini diambil bacaan suhu terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan sekolah hari ini.
Murid SK Meru Raya, di sini diambil bacaan suhu terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan sekolah hari ini.
A
A
A

IPOH - Seramai 130,713 murid Tahun Satu hingga Empat memulakan sesi persekolahan di seluruh Perak hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, jumlah tersebut membabitkan 852 sekolah rendah yang beroperasi di negeri ini.

Menurutnya, keseluruhan murid yang bersekolah termasuk Tahun Lima, Tahun Enam dan Kelas Khas adalah seramai 200,484.

"Jumlah keseluruhan murid yang hadir ke sekolah pada hari ini seramai 369,137 orang melibatkan pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di Perak iaitu seramai 168,653 orang pelajar sekolah menengah dan 200,848 orang lagi sekolah rendah.

"Dari segi jumlah sekolah pula, sebanyak 1,102 buah sekolah yang telah beroperasi iaitu melibatkan 250 buah sekolah menengah dan 852 buah sekolah rendah," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pembukaan semula sesi persekolahan secara berperingkat ini diumumkan kerajaan sebelum ini secara berperingkat dengan pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dan kelas peralihan, serta murid Tahun Lima dan Enam mula bersekolah pada 15 Julai lalu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya, di sini, mendapati kehadiran murid amat memberangsangkan biarpun terpaksa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Seawal jam 7 pagi, ibu bapa mula menghantar anak masing-masing secara berperingkat dengan dua pintu masuk utama disediakan oleh pihak sekolah bagi mengelak kesesakan selain memastikan SOP dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan suhu dilakukan oleh guru-guru yang bertugas dengan penjarakkan sosial sebelum murid-murid dibenarkan masuk ke dalam perkarangan sekolah.

Kesemua murid hadir dengan memakai pelitup muka malah pemberian pelitup muka dan pensanitasi tangan juga dilakukan menerusi inisiatif Pejabat Ahli Parlimen Tambun yang diserahkan kepada semua murid.

Dalam pada itu, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut turut mengambil inisiatif menyediakan khemah khas untuk memudahkan murid berteduh jika berlaku hujan dan sebagainya.

Pengerusi PIBG SK Meru Raya, Dr Mohammad Tazli Azizan berkata, secara keseluruhannya mereka berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Jelasnya, ibu bapa juga memainkan peranan masing-masing dengan mempersiapkan anak-anak dengan pemakaian pelitup muka dan memaklumkan kepada mereka tentang SOP yang perlu dipatuhi.

"Secara keseluruhannya semua SOP dipatuhi dengan baik dan ibu bapa juga faham SOP yang ditetapkan oleh kerajaan untuk anak-anak ini dipatuhi.

"Kita memang ada saluran menyampaikan maklumat berkaitan SOP ini melalui kumpulan WhatsApp dan Telegram. Dari situ ibu bapa dapat tahu tentang apa yang boleh dan tak boleh untuk mereka beritahu anak masing-masing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Bagi murid-murid pula, SOP ketat tidak menghalang mereka untuk bertemu rakan-rakan di dalam kelas masing-masing.

NOR AIMAN DANISH
NOR AIMAN DANISH

Malah seorang pengawas sekolah berkenaan turut menyahut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar pengawas sekolah memain peranan memastikan pelajar di sekolah mematuhi SOP ditetapkan.

Nor Aiman Danish Nor Haslan, 9, berkata, sebagai pengawas sekolah dia akan memastikan semua rakan-rakan mematuhi garis panduan ditetapkan terutama penjarakkan sosial.

"Saya akan tegur dan ingatkan mereka supaya patuhi SOP yang ditetapkan kerana itu perkara yang penting. Saya kena ingatkan mereka jaga jarak sosial, sentiasa basuh tangan dengan sabun dan sebagainya.

"Apa yang penting saya gembira kerana dapat kembali ke sekolah seperti biasa dan berjumpa rakan-rakan dan guru-guru," katanya.

Sempena pembukaan semula sesi persekolahan itu juga, sebanyak 600 pelitup muka dan 300 pensanitasi tangan disediakan oleh Pejabat Ahli Parlimen Tambun untuk SK Meru Raya.

Sehingga kini sebanyak 30 sekolah di dalam kawasan Parlimen Tambun telah menerima manfaat daripada pemberian pelitup muka dan pensanitasi tangan yang diberikan secara berperingkat.