Dakwaan Top Glove guna buruh paksa tidak berasas: Saravanan

Saravanan (tengah) pada Majlis Pertemuan Bersama Top Glove Corporation Bhd dan Malaysian Rubber Glove Manufacturers Association (MARGMA) di Kementerian Sumber Manusia hari ini. -Foto Bernama
Saravanan (tengah) pada Majlis Pertemuan Bersama Top Glove Corporation Bhd dan Malaysian Rubber Glove Manufacturers Association (MARGMA) di Kementerian Sumber Manusia hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Siasatan Jabatan Tenaga Kerja terhadap syarikat pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) atas alasan menggunakan khidmat buruh paksa, mendapati dakwaan itu adalah tidak berasas.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, sebelum Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengumumkan sekatan terhadap Top Glove, satu operasi menggabungkan pasukan petugas khas Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dilakukan di ibu pejabat Top Glove di Meru, Klang, pada 13 Julai lepas.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kesalahan melibatkan elemen buruh paksa yang dikesan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan CBP itu boleh menjejaskan kredibiliti dan imej negara di peringkat antarabangsa selain mempengaruhi keyakinan pelaburan asing terhadap negara ini.

"Tuduhan itu tidak adil. Mereka (CBP) sepatutnya meminta kita melakukan siasatan dan seterusnya menunggu hasil laporan sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Top Glove adalah keutamaan saya kerana syarikat ini dipersalahkan dan dituduh tanpa sebarang alasan. Oleh itu saya akan mengunjungi Top Glove dan menjemput wakil daripada Amerika Syarikat (AS) menerusi Wisma Putra (untuk melihat sendiri keadaan sebenar)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama wakil syarikat Top Glove dan Persatuan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) di kementerian itu di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyatakan larangan eksport sarung tangan getah ke AS mulai 15 Julai lepas itu membabitkan dua syarikat Top Glove Corp Bhd iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd atas kaitan dengan elemen buruh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove Datuk Lee Kim Meow berkata, pihaknya akan mengumpulkan bukti untuk diserahkan kepada pihak CBP pada minggu ini dan yakin isu tersebut dapat diselesaikan seawal bulan depan.

Malah, katanya, tindakan CBP itu telah menyebabkan jualan pengeluar sarung tangan getah itu terjejas kira-kira 12.5 peratus.

Berikutan itu, produk yang tidak dapat memasuki Amerika Syarikat terpaksa dieksport ke negara-negara lain termasuk Kanada, Australia dan Eropah, katanya. - Bernama