107 ketua keluarga terima kunci rumah

Ayub (tiga kanan) menyerahkan replika kunci sebagai simbolik penyerahan kunci rumah Taman Dato’ Ajib, Endau di Dewan Serbaguna Endau, Mersing, hari ini.
Ayub (tiga kanan) menyerahkan replika kunci sebagai simbolik penyerahan kunci rumah Taman Dato’ Ajib, Endau di Dewan Serbaguna Endau, Mersing, hari ini.
A
A
A

MERSING - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seramai 107 ketua keluarga susulan menerima kunci rumah Taman Dato’ Ajib, Endau di sini hari ini.

Penyerahan tersebut dilakukan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil kepada penerima di Dewan Serbaguna Endau.

Menurut Ayub, tidak semua permohonan diluluskan kerana terdapat sembilan permohonan terpaksa ditolak kerana dokumen tidak lengkap.

"Masih terdapat 30 kekosongan lagi akan dibuka secara dalam talian oleh pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Bahagian Perumahan)," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Katanya, pembinaan perumahan rumah idaman rakyat itu merupakan contoh dan bukti kerajaan Johor sentiasa prihatin dan peka nasib rakyat.

Beliau berharap bantuan dan kemudahan itu memberi kelegaan kepada semua pihak terutama masyarakat luar bandar yang tidak memiliki rumah.

"Sesungguhnya usaha dilakukan ini untuk memastikan semua dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan teratur bertepatan agenda dan dasar pembangunan luar bandar yang digariskan kerajaan," katanya.

Berkenaan projek itu, beliau berkata, pembangunan asalnya adalah untuk penempatan semula penduduk Kampung Tanjung dan Jalan Bulang yang terlibat dengan masalah banjir ketika air pasang.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk katanya, penyusunan semula penduduk kampung yang tinggal di atas tanah yang berhak milik, tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan tanah kerajaan iaitu rizab sungai, semuanya melibatkan 156 permohonan.

"Bagaimanapun, terdapat perubahan daripada 156 plot kediaman yang didirikan, hanya 146 unit rumah dikurniakan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SSI) manakala 10 unit rumah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ)," katanya.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 107 diserahkan kunci pada hari ini, sembilan permohonan ditolak manakala 30 lagi masih lagi kosong.

"Saya berharap pemberian ini dapat memberikan sinar dan kebahagiaan kepada 107 penerima pada hari ini. Diharap semua dapat menjaga dengan baik kawasan kediaman ini sekali gus bersama-sama membangunkan persekitaran lebih kondusif dan sihat," katanya.