X

Kindly register in order to view this article
!

Terbuka Malaysia 2020 dianjurkan jika terima dana BWF

MOHAMAD NORZA
A
A

Kejohanan Terbuka Malaysia hanya akan dianjurkan jika menerima suntikan dana daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh akan berjumpa pihak BWF bagi membincangkan perkara itu sebelum memutuskan sama ada kejohanan tersebut diteruskan atau tidak.

"Buat masa sekarang, hampir pasti ia tidak akan dianjurkan kerana kos yang sangat tinggi. Seandainya BWF menjadi penaja, kita akan teruskan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 itu diberi kebenaran untuk penganjuran namun ia perlu dilaksanakan tanpa kehadiran penonton yang jelas akan memberi kesan kepada pendapatan BAM.

Difahamkan kos penganjuran kejohanan itu mencecah RM4 juta dengan kebanyakan bintang utama dunia dijangka tidak akan menyertai edisi kali ini akibat Covid-19.

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$750,000 (RM3.2 juta) itu pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 31 Mac hingga 5 April namun BWF telah menyusun semula kalendar kejohanan 2020 akibat penularan pandemik Covid-19, yang menyaksikan ia diubah kepada November.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata, BAM akan mengadakan kejohanan dalaman yang bakal melibatkan kesemua pemain ABM pada pertengahan Ogos.

Bagaimanapun, beliau berkata, format pertandingan masih belum diputuskan namun ia perlu dilaksanakan bagi membolehkan setiap pemain merasai suasana pertandingan sebenar.

"Kejohanan ini perlu dilakukan kerana merasakan tiada kejohanan bertaraf antarabangsa dilangsungkan untuk tempoh enam bulan akan datang. Ia akan melibatkan pemain senior, pelapis dan lapan pemain profesional yang berlatih di ABM," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!