X

Kindly register in order to view this article
!

Sukan SEA: 11 sukan kemuka rayuan kepada penganjur

NAZIFUDDIN NAJIB
A
A

Sebanyak 11 sukan mengemukakan rayuan kepada penganjur Sukan SEA ke-31, Vietnam ketika mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan secara maya hari ini.

Rayuan berkenaan termasuk acara ‘lubuk emas’ Malaysia iaitu hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, tenpin boling, skuasy, boling padang, kriket, ragbi, e-sport, papan selaju serta sambo, iaitu sukan tempur dari Soviet.

Cadangan daripada Jawatankuasa Sukan dan Peraturan SEAGF berkenaan akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis SEAGF yang dijadual berlangsung juga secara maya, esok.

Pada mesyuarat secara maya membabitkan 11 negara yang dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Pentadbiran Sukan Vietnam, Tran Duc Phan hari ini, Malaysia diwakili Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib dan ahli kehormat SEAGF, Datuk Sieh Kok Chi.

Menurut kenyataan MOM, Vietnam menyampaikan taklimat terperinci mengenai 36 sukan yang dicadangkan untuk dipertandingkan pada edisi 2021 berserta venue pertandingan, membabitkan beberapa venue di luar Hanoi dengan jarak paling jauh adalah 150 kilometer daripada bandar berkenaan.

“Harus diingat bahawa pemilihan jumlah sukan dipertandingkan di temasya itu terletak pada tuan rumah. Pada 2015 di Singapura, sebanyak 34 sukan dipertandingkan dengan 402 pingat emas ditawarkan manakala pada 2017 di Kuala Lumpur, sebanyak 38 sukan dipertandingkan dengan 404 pingat emas ditawarkan. Di Manila (2019), 56 sukan dipertandingkan dengan 530 pingat emas ditawarkan,” menurut kenyataan itu.

Seperti pada temasya Sukan SEA 2015 dan 2017, kontinjen negara bertanding akan ditempatkan di hotel penginapan kerana tiada perkampungan sukan.

Berdasarkan senarai awal, sukan yang akan dipertandingkan di Vietnam adalah olahraga, akuatik (renang dan terjun), memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kanu, berbasikal (lebuh raya dan basikal bukit), dance sport, lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, bola baling, bola tampar, judo, karate, mendayung, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, angkat berat dan gusti.

Turut tersenarai acara snuker dan billiard, catur/xiangqi (catur China), futsal, Muay, pencak silat, petanque, sepak takraw, renang sirip, bina badan, wushu, kurash, kick boxing dan vovinam (seni pertahan diri Vietnam). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!