Kes ragut, tiga individu termasuk seorang wanita diberkas

Pelbagai barangan yang berjaya dirampas susulan penangkapan tiga suspek di dua unit PPR di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Pelbagai barangan yang berjaya dirampas susulan penangkapan tiga suspek di dua unit PPR di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tiga individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes ragut diberkas secara berasingan di dua unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur menahan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun pada jam 2 petang.

"Salah seorang daripada suspek itu mengaku terlibat dengan beberapa kes ragut di sekitar Cheras dan Kajang serta menunjukkan baju yang dipakai semasa melakukan jenayah dan tempat simpanan barang hasil ragut," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mazlan berkata, hasil soal siasat, pihaknya memberkas seorang wanita berusia 35 tahun di sebuah unit lain di PPR yang sama.

"Kita berjaya merampas 14 buah telefon bimbit pelbagai jenama, lapan utas jam tangan, tujuh beg tangan, enam beg sandang, enam utas gelang, dua beg duit, dua tab dan kamera serta dua keping kad pengeluaran wang automatik," katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai terlibat dalam enam kes ragut di Selangor dan tiga kes sama di Kuala Lumpur.

"Kes terbaharu, dua suspek yang menaiki motosikal meragut beg seorang wanita di tepi jalan di Cheras pada 3.30 petang, 16 Julai lalu.

"Beg mangsa yang mengandungi telefon bimbit jenama OPPO A92 dan Huawei Nova 2i. Anggaran kerugian mangsa adalah RM2,098," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Salah seorang daripada mereka dikehendaki bersabit Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Kesemua suspek ditahan reman bermula 19 Julai 2020 hingga hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.