Haramkan Huawei, China dakwa UK ikut telunjuk AS

London membuat keputusan tidak membenarkan Huawei terlibat dalam menyediakan perkhidmatan 5G di United Kingdom. - Foto AFP
London membuat keputusan tidak membenarkan Huawei terlibat dalam menyediakan perkhidmatan 5G di United Kingdom. - Foto AFP
A
A
A

CHINA mendakwa United Kingdom (UK) 'menari' mengikut rentak Amerika Syarikat (AS) selepas syarikat telekomunikasi Huawei diharamkan daripada menyediakan rangkaian 5 Generasi (5G), menurut portal MailOnline pada 19 Julai lalu.

Sebelum ini pada 14 Julai lalu, UK mengumumkan ia akan menghalang syarikat tersebut daripada menyertai rangkaian 5G sekali gus akan meningkatkan ketegangan dengan Beijing walaupun pada masa sama menggembirakan AS.

Duta China ke UK, Liu Xiaoming memberitahu, mengeluarkan Huawei yang juga syarikat telekomunikasi China daripada terlibat dalam infrastruktur adalah mewakili 'hari gelap' buat Britain.

Beliau berkata, Beijing masih menilai kesan akibat keputusan tersebut di tengah-tengah dakwaan bahawa firma British di China diberitahu akan menjadi sasaran dalam satu tindak balas yang akan berlaku.

Ketika ditemuramah dalam program terbitan BBC iaitu Andrew Marr Show pada Ahad lalu, Xiaoming mengulangi pendapatnya dengan memetik pandangan daripada seorang wartawan British dan pengulas politik, Martin Jacques.

"Sejarah diputar sekali lagi. Pada tahun 1793, Maharaja China, Qianlong memberitahu Raja Britain, kita tidak memerlukan sedikit pun pengilangan negara anda. Pada tahun 2020, UK memberitahu China, ia tidak memerlukan teknologi terbaru China."

Kenyataan Jacques itu dibuat menerusi Twitter.

Xiaoming juga mengkritik keputusan UK dengan menyatakan Huawei ialah pemimpin dalam rangkaian 5G dan mempunyai 40 peratus saham di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"UK membuat keputusan berdasarkan tuduhan yang diperbesar-besarkan dan tidak diperlukan tentang risiko kesihatan.

"Seperti yang saya kata, menolak Huawei adalah menolak peluang dan menyisihkan masa depan," katanya.

Duta China ke United Kingdom, Liu Xiaoming menyatakan Huawei merupakan pemimpin dalam rangkaian 5G. - Foto AFP
Duta China ke United Kingdom, Liu Xiaoming menyatakan Huawei merupakan pemimpin dalam rangkaian 5G. - Foto AFP

Sebelum ini, menurut portal berita CNBC, Setiausaha Kebudayaan UK, Oliver Dowden berkata di parlimen bahawa pengendali rangkaian telefon bimbit di negara tersebut akan dipaksa menghentikan pembelian peralatan daripada Huawei pada akhir tahun ini.

Pada Mei lalu, AS melaksanakan larangan terbaru ke atas syarikat Huawei.

Halangan itu bermakna firma China tidak lagi menjadi menjadi sumber utama peralatan cip.

Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan UK juga melakukan kajian semula ke atas syarikat telekomunikasi China itu selepas larangan AS tersebut.

Dowden berkata, tindakan menghentikan pembelian peralatan daripada Huawei itu akan menangguhkan perkhidmatan kelajuan data dan peningkatan rangkaian telekomunikasi di UK bakal tergendala.

"Ini bukan satu keputusan yang mudah tetapi adalah betul buat rangkaian telekomunikasi UK, untuk keselamatan negara dan ekonomi kita buat masa sekarang serta dalam tempoh yang panjang," kata Dowden kepada ahli-ahli Parlimen.

Xiaoming turut memberitahu program terbitan BBC itu bahawa adalah salah untuk melaksanakan sekatan dan beliau menyatakan tindakan UK tersebut adalah mengikut arahan Rumah Putih.

"Kami tidak percaya dengan sekatan satu pihak sahaja. Kami percaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai kuasa untuk mengenakan sekatan.

"Jika kerajaan UK pergi sejauh itu untuk melaksanakan sekatan terhadap mana-mana individu di China, China akan membuat tindak balas yang tegas mengenainya," kata Xiaoming.

Pada Rabu lalu, syarikat-syarikat telekomunikasi Singapura telah memilih saingan Huawei iaitu Ericsson dari Sweden dan Nokia dari Finland untuk membina infranstruktur 5G.

Minggu lalu juga, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan, "Keputusan UK untuk mengharamkan Huawei daripada rangkaian 5G telah memajukan keselamatan rentas Atlantik dalam era 5G dan melindungi hak peribadi rakyat, keselamatan negara dan nilai-nilai dunia."

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair berkata pada Khamis lalu, negaranya perlu menyebelahi AS berhubung isu Huawei.

"Kami tidak perlu membuat satu panggilan dan saya berpendapat pada akhirnya, ia perlu pro-AS," katanya dalam dalam satu temu ramah dengan Reuters Newsmakers.

"Ia merupakan satu masalah kepada kami kerana Huawei mempunyai infrastruktur yang kita perlu dan kebenarannya ia terlalu murah berbanding alternatif yang kita bangunkan sekarang," katanya.

"Adalah sukar untuk kita tidak berada bersama AS berhubung apa sahaja yang menyentuh tentang keselamatan AS," katanya. - Agensi