Kerajaan tidak boleh suka hati tukar tanaman Felcra

Wisma Felcra
Wisma Felcra
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak boleh sesuka hati menukar tanaman kelapa sawit dan getah yang selama ini diusahakan peserta Felcra kepada tanaman kontan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu perlulah mengambil kira persetujuan bersama dengan peserta Felcra kerana kerajaan terikat dengan perjanjian sedia ada.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan sedang memperkemas dan memperkukuh usaha meningkatkan pendapatan peserta Felcra yang kini 90 peratus daripadanya adalah golongan B40 dan selebihnya M40.

“Felcra ada money generating element, umpamanya kilangnya ada tujuh, pendapatannya satu tahun RM500,000, sudah ada untung, kita nak beri tumpuan juga terhadap baja kimia.

“Jadi ada elemen-elemen dalam Felcra yang kita boleh komersial dan kita tambah pendapatan dan boleh kita bagi balik kepada peserta bagi mengatasi kelompongan yang dialami Felcra dalam mengurus ladang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan tanaman gantian lain yang mempunyai value cash crop bagi menghadapi persaingan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu Abd Latiff berkata, beliau akan membuat pertemuan dengan Kementerian Kewangan esok bagi membincangkan isu berkaitan Felcra seperti pemberian dividen dan isu pelupusan hutang pembangunan tanah. - Bernama

Artikel Berkaitan: