Tukul cermin penting jika terperangkap dalam kereta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Malang tidak berbau” dan tragedi yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang Ahad lalu memberi pengajaran kepada semua pengguna kenderaan akan pentingnya alat keselamatan seperti tukul cermin dan pemotong tali pinggang keledar disimpan dalam setiap kereta persendirian.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Aliasman Morshidi berkata, peralatan seperti itu sebenarnya mampu menyelamatkan nyawa jika berlaku situasi kemalangan seperti kereta terhumban lalu tenggelam ke dalam laut ataupun sungai.

"Kalau kita mampu untuk memasang kamera dashboard atau 'dashcam' di dalam kereta, kenapa tidak kita menyediakan tukul cermin dan pemotong tali pinggang keledar yang harganya lebih murah iaitu sekitar belasan dan puluhan ringgit sahaja.

"Jika kenderaan masuk ke sungai atau laut tekanan air sangat kuat, maka pintu kereta sukar dibuka dan kita perlukan tukul cermin untuk pecahkan cermin dan segera keluar daripada kereta terbabit sebelum ia tenggelam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya, selain alat itu, penyandar kepala pada kerusi kereta yang senang dicabut juga boleh digunakan untuk memecahkan tingkap kereta untuk menyelamatkan diri ketika berlaku kecemasan.

Kebanyakan tukul cermin dijual secara ‘tiga dalam satu’ di pasaran tempatan kerana turut dilengkapi pisau pemotong tali keledar dan lampu suluh kecil.

Ahad lalu seorang penuntut kolej swasta Moey Yun Peng, 20, maut selepas SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandunya dilanggar sebuah kereta lain jenis Toyota Vios sebelum terhumban ke laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang pada 2.54 pagi.

Usaha mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dihalang oleh arus deras dan laut yang dalam dengan mangsa dan kenderaan hanya berjaya dikeluarkan pada petang Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada 6.07 petang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!