X

Kindly register in order to view this article
!

Tuntut lebih kuasa di Parlimen

Dewan Rakyat
A
A

TUNTUTAN satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen untuk dua negeri Malaysia Timur oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Khamis lalu mengejutkan banyak pihak terutamanya penduduk Semenanjung Malaysia.

Abang Johari juga ialah Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 kerusi Parlimen dan kini menganggotai kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

GPS beranggapan tuntutan satu pertiga itu tidak patut dilayan dan dianggap melampau kerana jumlah penduduk Sarawak hanyalah sekitar 2.7 juta orang dan Sabah 3.6 juta orang berbanding lebih 25 juta penduduk di seluruh Semenanjung.

Namun, sebelum membuat sebarang andaian, kita perlu menyelusuri sejarah kemasukan negeri Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Sebelum termeterainya kemasukan dua negeri di utara Borneo itu ke dalam Persekutuan Malaysia, Semenanjung atau dikenali sebagai Malaya pada ketika itu telah bersetuju bersama Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau disebut juga MA63.

Selain MA63, Perjanjian 18 dan 20 Perkara turut dibincangkan bagi memberi jaminan bahawa hak dan kepentingan bumiputera Sabah dan Sarawak dilindungi. Antara isi kandungan perjanjian itu ialah Sabah dan Sarawak diberi kuasa imigresen, bumiputera Sabah dan Sarawak diberi keistimewaan yang sama seperti dinikmati kaum Melayu di Semenanjung serta bahasa Inggeris boleh terus digunakan seiring dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga Dewan Undangan Negeri memutuskan sebaliknya.

Pada Pilihan Raya Umum Kedua (PRU2) tahun 1964, iaitu setahun selepas kemasukan Sabah dan Sarawak, sebanyak 159 kerusi Parlimen dipertandingkan dengan 55 kerusi Parlimen diperuntukkan kepada Singapura (15), Sabah (16) dan Sarawak (24). Selebihnya sebanyak 104 kerusi Parlimen pula di Semenanjung.

Daripada jumlah kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU2 itu, ia jelas menunjukkan satu pertiga kerusi Parlimen diperuntukkan kepada wilayah bukan Semenanjung. Namun dengan terkeluarnya Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965 telah membawa sekali 15 kerusi Parlimen tanpa diagihkan kepada Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum keempat (PRU4), jumlah kerusi Parlimen dipertandingkan meningkat kepada 149. Namun, tambahan lima kerusi Parlimen ini semuanya di Semenanjung.

Sudut Perlembagaan

Pilihan raya umum seterusnya adalah sejarah. Peningkatan jumlah kerusi Parlimen untuk pilihan raya umum selepas itu tidak menepati jumlah satu pertiga seperti pada PRU2 sehinggalah ke hari ini. Jika diambil kira saranan oleh Abang Johari, satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen yang ada sekarang adalah 74 kerusi.

Hari ini, terdapat 56 ahli Parlimen dari dua negeri tersebut iaitu Sabah sebanyak 25 dan Sarawak pula 31 ahli Parlimen. Jumlah ini kurang 18 kerusi Parlimen bagi mencukupkan satu pertiga.

Sebelum ini pada 8 Februari 2020, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, saranan agar Sabah dan Sarawak kembali mendapat satu pertiga daripada kerusi Parlimen layak dipertimbangkan.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mengatasi baki empat isu yang belum diselesaikan di bawah MA63.

Berdasarkan prinsip Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan, terdapat beberapa syarat yang mesti diikuti sekiranya pembentukan kawasan Parlimen yang baharu ingin dilaksanakan.

Antara syarat yang diambil kira ialah pengundi mesti memiliki kemudahan semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.

Selain itu, jumlah pemilih perlu seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar. Luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan serta memelihara hubungan tempatan.

Sementara itu, urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya boleh dimulakan tidak kurang daripada tempoh lapan tahun dari tarikh siap urusan Kajian Semula Persempadanan sebelumnya atau terdapat pindaan terhadap undang-undang.

Kali terakhir persempadanan semula Parlimen adalah pada PRU14 yang lalu iaitu pada tahun 2018.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan Dewan Rakyat seperti dinyatakan dalam Perkara 46 Bahagian 2 (a) (x) (xi) secara jelas menyebut terdapat 25 ahli Parlimen untuk Sabah dan 31 ahli Parlimen untuk Sarawak.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, berdasarkan cariannya dalam Perlembagaan, tiada peruntukan satu pertiga mesti diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, kemungkinan besar permintaan itu adalah kerana kedua-dua negeri tersebut mahukan kuasa di Parlimen ditingkatkan.

“Saya sudah cari dalam Perlembagaan. Saya tidak jumpa peruntukan sebegitu.

“Mungkin juga ia sebahagian daripada tuntutan dalam Perkara 20 dari Sabah dan juga Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGCC) sebelum Sabah dan Sarawak masuk Malaysia pada tahun 1963,” katanya.

Seorang lagi pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, tiada dicatatkan dalam Perlembagaan bahawa Sabah dan Sarawak mesti diperuntukkan satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen.

Katanya, mungkin perjanjian itu adalah perjanjian politik pemimpin terdahulu namun ia tidak dicatatkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sudah meneliti Perlembagaan, saya tidak terjumpa syarat itu dalam Perlembagaan Persekutuan, IGCC dan dalam laporan Suruhanjaya Cobbold, memang tidak ada,” katanya.

Kembali kepada kenyataan Abang Johari, tuntutan satu pertiga itu penting buat Sabah dan Sarawak bagi mengembalikan status sebagai rakan serantau selepas Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia.

“Sabah dan Sarawak seharusnya mengekalkan satu pertiga daripada 222 peruntukan kerusi dan jika ini tidak berlaku, pengagihan kuasa di Parlimen hanya bergantung pada Semenanjung Malaysia.

“Kami (Sarawak) tahu bahawa Perlembagaan dapat dipinda jika mereka (Semenanjung) mempunyai perwakilan lebih daripada dua pertiga,” katanya.Sudah pasti isu jumlah kerusi untuk Sabah dan Sarawak ini akan berterusan untuk satu jangka masa yang panjang.

Semoga kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mendapat kata sepakat yang terbaik. Kita semua, tidak kira dari negeri mana, adalah rakyat Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!