Kumpulan ‘Blackout’ dakwa Muhyiddin mahu jawatan Pengerusi

AMIRUDDIN
AMIRUDDIN
A
A
A

ALOR SETAR - Kumpulan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ‘Blackout’ mendakwa jawatan Pengerusi Bersatu dikosongkan bagi memberi laluan kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyandang jawatan itu.

Ahli kumpulan Bersatu ‘Blackout’, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, jawatan Pengerusi Bersatu masih kekal kosong tanpa pencalonan baharu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding tetapi terlucut keahlian.

“Secara logiknya jawatan itu tentulah dipangku Presiden selaku pemimpin tertinggi parti.

“Tak mungkin Muhyiddin yang difahamkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden Bersatu pada pemilihan kali ini mahu menjadi pemimpin nombor dua dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT),” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Jawatan Pengerusi Bersatu disandang Dr Mahathir sebelum beliau mengundurkan diri dengan meletak jawatan 24 Februari lalu.

Susulan itu, Muhyiddin selaku Presiden parti memangku jawatan itu sehingga selesai pemilihan MPT Bersatu baharu pada 22 Ogos depan.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, perwakilan juga dijangka mengemukakan usul supaya Presiden Bersatu memangku jawatan Pengerusi parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu September ini.

“Sama ada Muhyiddin boleh mengisi kedua-dua jawatan itu atau sebaliknya perlu rujuk pada perlembagaan parti.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya memilih untuk memansuhkan jawatan Pengerusi, ia hanya boleh dilakukan melalui pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu,” katanya.

Amiruddin yang menang tanpa bertanding Ketua Bahagian Bersatu Kubang Pasu pada pencalonan lalu berkata, pemilihan calon Pengerusi Bersatu masih boleh dilakukan selagi mesyuarat agung bahagian belum selesai.

“Pemilihan jawatan tertinggi berlaku di mesyuarat agung bahagian, perwakilan bahagian akan undi siapa layak dan calon beroleh undian tertinggi akan menang. “Namun saya kesal apabila didakwa akan berlaku pemecatan ahli secara besar-besaran bagi melenyapkan penyokong Dr Mahathir,” katanya.

Beliau yang juga calon Naib Presiden Bersatu berkata, namanya turut digugurkan daripada senarai calon pemilihan parti yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP). “Saya andaikan ia untuk bagi laluan mudah kepada calon yang sokong Muhyiddin, tindakan ini tak betul dan dianggap pengecut,” katanya sinis.

Sebelum ini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman dilaporkan berkata, lebih separuh daripada keseluruhan 404 calon yang bertanding beberapa jawatan tertinggi Bersatu bakal berdepan tindakan dilucutkan keahlian minggu hadapan.

Tindakan tegas itu dipercayai diambil kerana mereka didapati terlibat dengan kumpulan ‘Blackout’ yang merupakan gerakan menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat Dr Mahathir.