Pemilik premis perniagaan boleh mohon kawasan bebas merokok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pemilik premis perniagaan persendirian secara sukarela boleh memohon untuk menjadikan premis mereka sebagai kawasan bebas merokok, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Boon Chye berkata, permohonan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan bagi membolehkan penguatkuasa kesihatan mengambil tindakan terhadap mereka yang merokok di kawasan premis mereka.

"Kami menerima banyak aduan daripada pemilik premis bersebelahan atau berhadapan premis makanan, yang ada perokok merokok di hadapan premis mereka.

"Jika mereka (pemilik premis) tidak mahu perokok merokok di kawasan premis mereka, pemilik boleh memohon kepada kementerian untuk designate premis mereka sebagai kawasan larangan merokok,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Pusat Perkhidmatan Jantung Hospital Tung Shin di sini, hari ini.

Beliau berkata minggu lepas, lebih 100 premis perniagaan di Sabah menerima Anugerah Sijil Reben Biru dari Kementerian Kesihatan selepas secara sukarela membuat permohonan untuk kawasan perniagaan mereka diisytihar sebagai kawasan bebas merokok.

"Hotel dan homestay juga boleh memohon untuk menjadikan seluruh kawasan hotel sebagai bebas dari asap rokok," katanya.

Mengulas mengenai penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan yang berkuatkuasa sejak 1 Jan lepas, Boon Chye berkata, setakat ini penguatkuasaan itu dilihat berkesan.

"Setakat ini kami tidak mengeluarkan saman, tetapi kami hanya bagi mereka surat amaran sekiranya didapati merokok di kawasan larangan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: