Penantian 16 tahun Leeds berakhir

Leeds United mengakhiri penantian panjang selama 16 tahun apabila bakal kembali bersaing dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Leeds United mengakhiri penantian panjang selama 16 tahun apabila bakal kembali bersaing dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
A
A
A

LEEDS United mengakhiri penantian panjang selama 16 tahun apabila bakal kembali bersaing dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Kejayaan itu dicapai selepas pesaing terdekat Leeds, West Bromwich Albion tewas 1-2 kepada Huddersfield Town pada saingan Liga Kejuaraan Inggeris awal pagi semalam, sekali gus mengesahkan tempat mereka dalam kedudukan dua terbaik.

Dengan hanya berbaki dua perlawanan, The Whites kini telah mengumpul 87 mata - lima mata mengatasi West Bromwich yang yang hanya memiliki satu baki perlawanan lagi.

Atas kertas, Leeds berpeluang muncul juara seterusnya melengkapkan musim gemilang mereka untuk kembali membuat penampilan semula di pentas liga utama England itu musim depan.

Brentford mungkin menjadi satu-satunya pasukan yang mampu mencabar kedudukan Leeds selaku pendahulu liga, namun skuad kendalian Marcelo Bielsa itu hanya memerlukan satu mata lagi untuk menjulang trofi Liga Kejuaraan musim ini.

“Kami semua bagaikan tidak percaya. Semasa pengurus (Bielsa) tiba buat kali pertama di sini dua tahun lalu, saya tak sangka saya akan berada pada tahap sekarang.

"Pengurus dan semua staf kejurulatihan adalah kunci kejayaan ini. Dia adalah pengurus terbaik di dunia. Tiada pengurus lain yang lebih baik daripada Marcelo Bielsa ketika ini. Selepas 16 tahun, kami kembali,” kata tonggak Leeds, Kalvin Phillips.

Bielsa, jurulatih kelahiran Argentina hanya memerlukan dua musim untuk membawa Leeds untuk dinaikkan pangkat ke EPL selepas menamatkan saingan di tempat ketiga pada musim 2018/19.

Artikel Berkaitan:

Sejak tersingkir ke Divisyen Dua pada tahun 2004, Leeds dikendalikan oleh 14 pengurus berbeza sehingga akhirnya mendapat sentuhan istimewa Bielsa yang juga bekas pengendali Lazio dan Marseille.