Sejuta benih ikan untuk Tasik Kenyir setahun: Ronald Kiandee

Ronald Kiandee - Foto Bernama
Ronald Kiandee - Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - Sebanyak sejuta benih ikan akan dilepaskan di Tasik Kenyir setiap tahun, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, benih tersebut akan disalur oleh Jabatan Perikanan kepada pihak pengurusan Tasik Kenyir, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) secara berperingkat bagi memastikan kawasan tersebut sentiasa mempunyai stok ikan darat.

“Kementerian akan terus membuat kerjasama erat bagi memastikan Tasik Kenyir ini terus menjadi tarikan agro pelancongan.

“Pusat-pusat penternakan ikan di negeri ini dan negeri berdekatan akan dijadikan sebagai pusat khusus untuk pengeluaran sebanyak sejuta benih ikan setiap tahun dan usaha ini akan jadi program tahunan pihak kementerian,” katanya kepada pemberita selepas program pelepasan benih ikan di sekitar Tasik Kenyir di sini hari ini.

Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan kira-kira 209,199 hektar terkenal sebagai kawasan agro pelancongan dan memancing namun kini dikatakan tidak mempunyai ikan yang banyak sepertimana tahun tahun sebelum ini.

Pada majlis tersebut sebanyak 25,000 benih ikan pelbagai jenis dilepaskan, iaitu sebanyak 500 ekor ikan kelah, 500 ekor ikan temoleh, 1,000 ekor ikan sebarau dan 23,000 ekor ikan lampan, yang diperoleh dari Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Pahang.

Kiandee berkata, Terengganu mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang perikanan dan pertanian berikutan adanya kerjasama erat dengan pelbagai agensi serta penyelidik termasuklah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang mempunyai kepakaran dalam bidang marin.

Beliau berkata, peranan dan kajian UMT pastinya akan memberi impak besar, dalam memastikan kelangsungan industri perikanan negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang pertama kali membuat lawatan kerja ke Terengganu sejak dilantik pada Mac lepas berkata, negeri itu juga mampu menjadi antara pengeluar utama makanan negara, jika semua pihak bekerjasama dengan baik.

“Terengganu memang antara negeri penting dalam sumber perikanan, tidak kira sama ada laut ataupun darat.

“Tentu sekali ada potensi lain yang boleh diterokai seperti perikanan laut dalam untuk dijadikan sumber pendapatan negeri pada masa akan datang,” katanya. - Bernama