Laluan keluar alternatif dari Damansara Damai ke NKVE dibuka

Sayuthi (empat dari kanan) bersama Elizebeth (dua dari kiri) sewaktu majlis pembukaan laluan berkenaan di Petaling Jaya hari ini.
Sayuthi (empat dari kanan) bersama Elizebeth (dua dari kiri) sewaktu majlis pembukaan laluan berkenaan di Petaling Jaya hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka laluan keluar alternatif dari Damansara Damai ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) bermula hari ini.

Menerusi pembukaan itu, penantian penduduk di kawasan berkenaan selama tujuh tahun berakhir apabila mereka sebelum ini dibelenggu isu kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak.

Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, jajaran laluan keluar sepanjang 234 meter itu menelan kos keseluruhan sebanyak RM5.05 juta dan diselia oleh Jabatan Kejuteraan MBPJ.

"Laluan keluar ini merupakan komitmen MBPJ dalam menyediakan infrastruktur terbaik, selamat dan kondusif bagi membantu mengurangkan kesesakan di sini khususnya pada waktu puncak," katanya pada sidang media pembukaan laluan berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizebeth Wong Keat Ping.

Mohd Sayuthi berkata, MBPJ telah memulakan Penilaian Kesan Lalu Lintas (TIA) sejak 2013 dan hasil dapatan kajian itu mendapati kesesakan lalu lintas sering berlaku di kawasan berkenaan pada waktu pagi dan petang.

Beliau berkata, MBPJ telah mendapat milikan tapak projek itu pada 24 Mei 2018 dan ia siap dibina pada 31 Ogos tahun lalu.

"MBPJ berharap laluan keluar ini memberi manfaat kepada pengguna lalu lintas khususnya penduduk di Damansara Damai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ikhsan
Mohd Ikhsan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Apartment Idaman (Iras), Mohd Ikhsan Mohd Din berkata, penduduk menyambut baik pembinaan laluan alternatif itu yang dilihat amat diperlukan di kawasan berkenaan pada masa kini.

Katanya, penduduk sebelum ini berdepan isu kesesakan yang teruk berikutan kawasan itu hanya mempunyai satu laluan untuk akses keluar masuk.