Rakyat bukan Islam tidak perlu risau Hari Jawi

Sabri Azit
Sabri Azit
A
A
A

ALOR SETAR - Pengumuman hari Jumaat sebagai Hari Jawi bermula minggu lalu tidak perlu dikhuatiri oleh mana-mana pihak terutama mereka yang bukan beragama Islam.

Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka, Sabri Azit berkata, pelaksanaan Hari Jawi bertujuan untuk mengekal dan memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan yang merupakan tulisan perantaraan sejak sebelum merdeka lagi.

Katanya, pihak yang tidak berpuas hati seharusnya tidak mempolitikkan isu pelaksanaan kempen ‘Hari Jumaat Hari Jawi’ hingga melabelkannya sebagai satu agenda Islamisasi di negara ini.

"Tulisan jawi ini tidak memberi kesan buruk kepada orang bukan Islam malah ia membolehkan asas mengharmonikan hubungan sesama insan dapat diperkukuhkan.

"Penulisan jawi ini tiada kaitan langsung dengan kepercayaan mahupun melibatkan agama kerana ia hanyalah berteraskan tulisan semata-mata," katanya menerusi suatu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hari Jumaat Hari Jawi

Tambahnya, salah faham seperti itu perlu dirungkai agar tulisan jawi tidak dijadikan tulisan untuk orang-orang beragama Islam sahaja.

Pada 10 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam suatu kenyataan berkata, usul Hari Jawi telah dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli Jemaah Menteri.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan serius memartabatkan tulisan jawi dan menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara itu.