Zulkiflee tamat perkhidmatan April ini

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas akan menamatkan perkhidmatannya pada 2 April ini dan melepaskan semua jawatan yang disandang sejak 3 April 2017.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), pihaknya kini sedang meneliti proses pelantikan Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat yang baharu dengan pihak terbabit termasuk Bank Negara Malaysia.

"Semua perkembangan ini jelas menampakkan perubahan hala tuju positif Bank Rakyat selaras dengan komitmen Bank dalam memupuk kepercayaan dan ketelusan dalam operasi Bank seiring dengan keperluan pengawal seliaan terkini dan amalan terbaik global dalam industri perbankan,"katanya.

“Ahli Lembaga Pengarah juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Zulkiflee Abbas atas kejayaan mengukuhkan tadbir urus korporat, asas pendanaan dan amalan pembelanjaan berhemah semasa tempoh pimpinan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkiflee berkata, sejak dua tahun yang lalu, pihaknya telah berjaya mempelbagaikan produk dan perkhidmatan dalam institusi kewangan tersebut dan mengucapkan penghargaan atas kerjasama pihak-pihak dalam melaksanakan peralihan strategik ini.

"Bank Rakyat bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembiayaan peribadi semata-mata, malah menawarkan produk pembiayaan runcit yang lain seperti perumahan, pendidikan, kenderaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Terima kasih diucapkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof, dan pengurusan kementerian itu selain Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Syariah, Jawatankuasa Pengurusan dan warga kerja Bank Rakyat yang telah memberikan sokongan dalam pelaksanaan peralihan strategik ini," katanya.

Sementara itu, kata kenyataan itu, Bank Rakyat kini telah menunjukkan perkembangan positif di bawah hala tuju dan kepimpinan baharu MED termasuk pelantikan Datuk Noripah Kamso sebagai Pengerusi baharu Bank Rakyat serta dua Ahli Lembaga Pengarah baharu iaitu Wan Suraya Wan Radzi, Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) MED dan pelantikan peguambela dan peguamcara, Edham Reza Shah Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

“Noripah merupakan individu yang tidak asing dalam landskap perbankan menerusi perkhidmatan beliau sebelum ini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd dan beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersama Islamic Finance Industry Council, Malaysia - US Chamber Of Commerce yang berpusat di Washington DC. Pelantikannya sebagai Pengerusi Bank Rakyat berkuat kuasa pada 6 Disember 2018,” ujarnya.

Sementara itu, Noripah mengalu-alukan kehadiran Wan Suraya yang akan memainkan peranan penting dalam merangka potensi kolaboratif antara Bank Rakyat dengan MED manakala Edham Reza Shah pula merupakan individu yang berpengalaman luas dalam perbankan Islam dan sebagai Penasihat Korporat, mempunyai kepakaran yang mampu memacu Bank Rakyat ke arah tadbir urus yang kukuh.